SKUAD Kedah tewas dua perlawanan sebelum ini.
SKUAD Kedah tewas dua perlawanan sebelum ini.
Izzali Ismail

KELAB Penyokong Bolasepak Kedah Darul Aman (KEPDA) menggesa pihak kejurulatihan Kedah yang diketuai Aidil Sharin Sahak segera mendapatkan formula lebih berkesan bagi mengelak aksi 'yoyo' berulang kembali dalam saingan Liga Super seperti dipamerkan kini.

Ini kerana prestasi Kedah yang dilihat mantap pada awal musim sebelum ini tiba-tiba longlai dengan mencatat keputusan luar jangkaan selepas tewas kepada pasukan bawahan liga seperti Kuala Lumpur (1-2) sebelum ini dan juga Melaka United (0-1) Ahad lalu.

Menurut Nor Asmadi Hamzah yang juga presiden kelab, kekalahan mengejut itu umpama penyakit misteri yang menimpa ketika skuad Lang Merah menentang skuad bawahan.

"Apabila menentang pasukan kuat, Kedah berjaya kekalkan rentak perlawanan, tapi kami hairan bila menentang pasukan bawahan, Kedah kecundang dengan mudah seperti bertemu Melaka dan KL yang mana tidak patut kita kalah."

"Memang kalah menang adat perlawanan, namun apa yang kami terkilan adalah aksi pemain longlai yang tidak beraksi seperti dirancangkan."

"Kami boleh terima kekalahan naum biarlah kekalahan itu kekalahan bermaruah dan bukan tewas mudah dengan kurang percubaan untuk menghasilkan gol."

Asmadi turut meluahkan kerisauannya apabila mendapati beberapa pemain yang mengalami kecederaan pada perlawanan lalu dijangka tidak dapat diturunkan untuk perlawanan seterusnya menentang Selangor Jumaat ini.

"Perkara yang merisaukan kami sebagai kelab penyokong adalah faktor kecederaan membabitkan empat hingga lima pemain seperti pemain import Anmar Al Mubaraki, Zaquan Adha, Shahrul Azwari dan lain-lain yang belum dapat dipastikan status untuk beraksi dalam perlawanan seterusnya nanti."

"Tambahan pula Kedah perlu bersedia untuk aksi suku akhir Piala FA bertemu PKNS FC di gelanggang lawan empat hari selepas aksi Liga Super itu yang memerlukan tahap kecergasan tinggi."

"Walau bagaimanapun kami masih yakin pihak kejurulatihan dapat merungkai masalah sedang melanda pasukan ini dengan melakukan beberapa rombakan perancangan dan pemain bagi mengelak masalah berterusan, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 11:39 AM