AFP

Manchester: Pengurus Manchester City Manuel Pellegrini percaya perebutan bergelar juara Liga Perdana Inggeris masih belum berakhir meskipun anak buahnya tersungkur 1-0 di tangan kelab bawahan, Burnley di Turf Moor, kelmarin.

Penyerang Burnley George Boyd menghasilkan gol tunggal perlawanan bagi membolehkan Clarets menang ke atas juara bertahan itu.

Tewas bermakna City kini lima mata di belakang pendahulu, Chelsea selain bermain lebih dua perlawanan berbanding skuad kendalian Jose Mourinho itu.

Jika Chelsea menang kedua-dua perlawanan, mereka pasti mempunyai kelebihan 11 mata di atas City tetapi Pellegrini enggan mengaku bahawa peluang mereka untuk menjulang Liga Perdana musim ini sudah berakhir.

“Jika anda percaya kepada kiraan serta peluang daripada sudut matematik, anda pasti tahu bahawa ia masih terbuka,” katanya.

“Satu-satunya realiti yang perlu kami hadapi ketika ini ialah impian kami untuk bergelar juara sudah semakin sukar. Setiap kali kami tercicir mata, maka ia akan menjadi lebih sukar.

“Selagi ada peluang, kami akan terus melawan dan kita perlu tunggu hingga hujung musim untuk melihat di mana kedudukan kami.

“Kami hanya bimbangkan pasukan kami. Kami tahu keadaan akan menjadi semakin sukar setiap kali tercicir mata. Masih ada 27 mata untuk direbut dan kami akan berjuang mendapatkannya.”

Pelawat mempamer aksi mengecewakan sambil gagal menandingi usaha keras yang dilakukan pemain Burnley, terutamanya di babak pertama.

City kini mengubah tumpuan kepada perlawanan kedua kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara menentang Barcelona di mana mereka ketinggalan 1-2.

Mungkin disebabkan perlawanan itu semakin hampir, Pellegrini enggan menyalahkan prestasi pemainnya ketika menentang Burnley walaupun dilihat longlai dipermainkan Clarets.

“Saya yakin mereka sudah memberikan segala-galanya,” tambah pengendali Chile itu. “Sudah tentu ada kesilapan dan ia mengakibatkan kami tidak menang seperti yang biasa kami lakukan.

“Saya tidak mahu menyalahkan seorang atau dua pemain. Kami beraksi sebagai satu pasukan. Saya akan terus meletakkan kepercayaan serta keyakinan saya kepada mereka.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2015 @ 5:23 AM