HUGHES dipecat selepas empat setengah tahun bersama Stoke. FOTO/AFP
HUGHES dipecat selepas empat setengah tahun bersama Stoke. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Stoke City memecat pengurus Mark Hughes selepas empat setengah tahun mengendalikan skuad itu, menurut jurucakap kelab.

Keputusan itu diambil selepas kekalahan mengejut 2-1 di tangan Coventry City, di pusingan ketiga Piala FA, awal pagi tadi.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada Mark di atas pencapaian selama empat setengah tahun termasuk tiga kali berturut-turut di tempat kesembilan dalam saingan liga dan kami harap dia lebih berjaya selepas ini,” kata jurucakap kelab.

“Kelab akan melantik pengurus baru secepat mungkin dan tunggu komen kami selanjutnya selepas itu.”

Kejayaan Stoke mengekalkan kedudukan di bahagian pertengahan liga tiga musim berturut-turut gagal dipertahankan musim lalu apabila terperosok di tangga ke-13 dan kegagalan membawa masuk pemain baru berkaliber menjejaskan lagi prestasi pasukan.

Stoke kini di zon penyingkiran dan tewas enam daripada lapan perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan. Hanya menang lima daripada 22 aksi liga.

KAIN rentang daripada penyokong yang mengesa Hughes dipecat. FOTO/AFP
KAIN rentang daripada penyokong yang mengesa Hughes dipecat. FOTO/AFP

Hughes tidak menolong dirinya sendiri apabila membariskan skuad lemah ketika tewas 0-5 di Chelsea minggu lalu dan merehatkan pemain utama untuk perlawanan lebih mudah menentang pasukan bawahan, Newcastle.

Bagaimanapun mereka tewas 1-0 dan merudum ke tiga tangga terbawah dan kekalahan memalukan di Coventry dalam saingan Piala FA adalah perlawanan ke-200 Hughes bersama kelab itu.

“Kami memiliki pemilik yang akan membuat keputusan tepat untuk kelab,” kata Hughes.

Stoke akan menentang Manchester United Isnin ini di Old Trafford dalam aksi liga dan berharap dapat melantik pengurus baru bagi memperkuatkan pasukan sebelum jendela perpindahan pemain ditutup penghujung bulan ini. Hughes yang berusia 54 tahun berpengalaman luas selepas menjadi jurulatih kepada beberapa kelab seperti Blackburn Rovers, Manchester City, Fulham, Queens Park Rangers dan Stoke selain lima tahun menjadi pengurus skuad Wales.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 8:02 AM