PEMAIN Kedah,  Syakir Hamzah (kanan) melarikan bola sambil dikejar pemain Selangor United,  Rizuan Kamis (tengah) dan Clovis Franklin pada aksi Piala FA sebelum ini.
PEMAIN Kedah, Syakir Hamzah (kanan) melarikan bola sambil dikejar pemain Selangor United, Rizuan Kamis (tengah) dan Clovis Franklin pada aksi Piala FA sebelum ini.
Izzali Ismail

KEDAH perlu memburu gol awal ketika menentang Petaling Jaya City FC (PJC FC) bagi menyuntik semangat dalam usaha memburu kemenangan pada aksi pusingan ke-3 Piala FA di Stadium Darul Aman, malam esok.

Pengerusi Kelab Penyokong Puaka Jerai (PJFC) Zulkifli Hashim atau dikenali sebagai Puaka Jerai berkata, Lang Merah yang beraksi di laman sendiri perlu mendapatkan gol awal bagi mengelak tekanan seperti ketika menentang Selangor United sebelum ini.

"Gol awal harus dicari untuk menyuntik kekuatan serta semangat semua pemain kerana PJC FC kemungkinan mampu membuat kejutan jika Kedah tidak berwaspada dan kita ketinggalan diawal perlawanan ketika bertemu Selangor United sebelum ini."

"Saya bersama PJFC sebagai penyokong setia berharap momentum kebangkitan Kedah menewaskan Terengganu FC (TFC) 3-0 jumaat lepas akan dapat diteruskan dalam aksi Piala FA bertemu PJCFC kali ini."

"Saya yakin barisan kejurulatihan akan meletak kesebelasan utama terbaik pada perlawanan ini yang pada kami umpama final kerana ini merupakan perlawanan kalah mati."

Zulkifli yang juga digelar ikon untuk penyokong Kedah bagaimanapun berharap Kedah tidak memiliki sikap terlalu yakin walaupun beraksi di laman sendiri kerana pihak lawan sedang mengkaji setiap aspek kelemahan yang ada pada benteng pertahanan Kedah.

"Kedah memiliki beberapa kelebihan dari segi tempat perlawanan, cukup rehat dan sokongan peminat yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk mencapai kemenangan."

"Tiga faktor kelebihan ini perlu Kedah manfaatkan sepenuhnya dan kami sebagai 'pemain ke-12' akan pastikan Stadium Darul Aman bergema dengan sorakan padu daripada penyokong untuk menyuntik semangat kepada pasukan."

"Setiap kelab penyokong ada cara yang tersendiri untuk menyumbangkan sokongan masing-masing dan seperti pada setiap kali perlawanan, saya akan turun dengan kostum berkonsepkan tema warna hijau kuning dan Bunga Matahari bagi membangkitkan aura serta semangat pemain dan penyokong di Stadium Darul Aman."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 9:23 PM