PEMAIN TFC, Khairu Azrin Khaizali (tengah) dikawal dua pemain Kelantan di Stadium Sultan Muhammad Ke IV. FOTO/SYAMSI SUHAIMI.
PEMAIN TFC, Khairu Azrin Khaizali (tengah) dikawal dua pemain Kelantan di Stadium Sultan Muhammad Ke IV. FOTO/SYAMSI SUHAIMI.
Attirmidzie Rahman


TIGA aspek penting menjadi penyelamat Terengganu FC (TFC) menewaskan Kelantan United 3-1 bagi melayakkan pasukan itu ke pusingan suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, malam tadi.

Penolong Jurulatih TFC, Mohamad Nik berkata beliau menekankan tiga aspek berkenaan di bilik persalinan pada waktu rehat separuh masa pertama selepas ketinggalan 0-1 kepada Kelantan United.

"Pertama, saya memotivasikan semula pemain untuk menjadi pemenang dalam perlawanan ini, manakala kedua, saya minta supaya pemain segera 'membunuh' moral lawan dengan mencari gol dalam masa yang singkat.

"Terakhir, saya juga menekankan supaya pemain jangan sesekali mensia-siakan setiap gerakan dan peluang yang ada sepanjang perlawanan...Alhamdulilah semuanya mereka buktikan pada separuh masa kedua," katanya dalam sidang media, malam tadi.

Pada masa sama, Mohamad turut memuji semangat juang yang ditunjukkan pemain Kelantan United dan ia menjadi satu kejayaan buat sebuah pasukan baharu untuk layak ke peringkat ketiga Piala FA.

"Saya memberitahu pemain, Kelantan United ini adalah sebuah pasukan yang 'Nothing To Lose' iaitu mereka kalah pun tidak mengapa, menang bagi mereka adalah bonus.

"Mereka mempunyai semangat amat tinggi apatah lagi pada pusingan kedua selepas mereka menewaskan pasukan yang datang dari Liga Premier, Sabah," katanya.

Mengulas mengenai prestasi pemain import dari Ivory Coast Tchectche Kipre, Mohamad melihat prestasi pemain itu masih lagi dalam keadaan sederhana berbanding pada musim lalu.

"Kipre seorang pemain yang bagus, dia sentiasa mencuba dan semalam dia dapat rezeki selepas berjaya membuat jaringan, namun dari segi prestasi saya tengok dia masih sederhana kalau nak dibandingkan prestasinya pada tahun lepas.

"Apapun, perlawanan malam ini menjadi 'suntikan semangat' buat semua pemain untuk bangkit dan ia sekurang-kurangnya dapat memadam kekalahan sebelum ini. Insya-Allah kita mahu fokus untuk memenangi perlawanan seterusnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 1:37 PM