PEMAIN Melaka, Syazwan Andik  (kiri) mengasak pemain TFC  Nik Muhammad Sharif Haseefy  di Stadium Hang Jebat. FOTO Bernama
PEMAIN Melaka, Syazwan Andik (kiri) mengasak pemain TFC Nik Muhammad Sharif Haseefy di Stadium Hang Jebat. FOTO Bernama
Nazri Abu Bakar


Melaka: Jaringan hatrik Tchetche Kipre membantu Terengganu FC menewaskan Melaka United (MU) 4-2 pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, sebentar tadi.

Satu lagi jaringan pelawat dihasilkan menerusi penyerang kebangsaan Mohamad Faisal Halim bagi membolehkan mereka pulang dengan tiga mata walaupun diberi cabaran hebat tuan rumah yang beraksi tanpa kelibat pemain import.

The Turtles jelas tidak menunggu lama membuka tirai jaringan menerusi rembatan menarik Kipre pada minit ketiga selepas menerima hantaran Faisal.

Ketika Melaka berusaha mengatur rentak memburu jaringan penyamaan, pelawat sekali lagi merobek kubu tuan rumah juga menerusi Kipre pada minit ketujuh selepas mendapat hantaran Faisal.

Dua gol awal TFC bagaimanapun tidak mematahkan semangat skuad Hang Tuah untuk memberi tentangan kepada naib juara Piala FA terbabit dengan berusaha keras untuk mengimbangi perlawanan namun mereka terus diasak hebat anak buah jurulatih Nafuzi Zain.

Malah Kipre sekali lagi meledak jaringan pada minit ke-37 untuk melengkapkan hatriknya dalam perlawanan terbabit.

Dalam keghairahan The Turtles mencari jaringan tambahan, Melaka bangkit merapatkan jurang selepas Mohamad Faris Shah Rosli menjaringkan gol pertama menerusi sepakan penalti pada minit ke-43 aksi.

Semangat skuad Hijau Putih terus membuak sebaik babak kedua bersambung dengan melakukan gerakan menarik bagi merapatkan defisit gol.

Hasilnya mereka berjaya mencipta gol kedua pada minit ke-52 menerusi sayap kanan Syahmi Shamsudin selepas menerima hantaran Syahrul Azwari Ibrahim untuk menewaskan penjaga gol Mohd Suhaimi Husin.

Namun TFC memusnahkan kebangkitan tuan rumah dengan jaringan keempat pada m-70, kali ini menerusi rembatan kencang Faisal dari dalam kotak penalti selepas mengutip hantaran Mohamad Hakimi Abdullah untuk selesa dengan kemenangan 4-2 di bumi Hang Tuah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 10:46 PM