PEMAIN import Kedah, Kipre Tchetche mengasak kubu PJ City. FOTO  Aizuddin Saad
PEMAIN import Kedah, Kipre Tchetche mengasak kubu PJ City. FOTO Aizuddin Saad
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Meskipun dihimpit kepenatan dan beberapa siri kecederaan membabitkan tonggak utama, namun kejayaan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) merakam kemenangan besar 4-1 ke atas Petaling Jaya City (PJ City) adalah hasil daripada semangat berpasukan yang cukup tinggi.

Ia diakui pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak yang memuji sikap anak didiknya yang tidak mengenal putus asa walaupun skuad Hijau Kuning ketika ini amat penat ekoran terpaksa beraksi dua perlawanan dalam masa seminggu.

Namun begitu, pemain-pemainnya tetap berjuang dan hasilnya skuad kendalian jurulatih dari Singapura itu berjaya melakar tiga kemenangan berturut-turut termasuk menundukkan PJ City di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam tadi.

"Saya rasa ia mengenai semangat berpasukan. Motivasi pemain cukup tinggi. Dari Terengganu kami datang ke Kuala Lumpur dan saya rasa ia membuatkan hubungan antara pemain lebih baik, kerana kami sentiasa bersama, dan saya fikir ia hadir melalui semangat berpasukan," katanya.

Kejayaan itu kini meletakkan Kedah melonjak ke tangga ketiga Liga Super dengan 35 mata dan hanya ketinggalan dua mata di belakang Terengganu FC (37 mata) selain JDT (48 mata) yang gah di puncak liga.

Sementara itu, ketua jurulatih PJ City, P Maniam mengakui benteng pertahanannya tidak beraksi baik dalam mengekang asakan hebat penyerang import Kedah yang mudah menembusi gawang mereka.

"Saya akui Kedah bukan lawan mudah, mereka pasukan kuat dan mempunyai penyerang import berkualiti. Pertahanan kami tidak fokus dan banyak memberi ruang buat penyerang Kedah bergerak hingga kami dihukum.

"Tapi saya tetap memuji persembahan pemain yang tetap beri cabaran kepada Kedah dan kami akan bangkit untuk perlawanan berikutnya nanti," kata Maniam.

Dalam perlawanan itu, Kpah Sherman menjaringkan dua gol masing-masing pada minit ke-45 dan 55 serta dua lagi disumbangkan oleh Rabih Ataya (m-4) dan Fayadh Zulkifli (m-92), sementara gol saguhati tuan rumah diperolehi Khyril Muhymeen Zambri (m-61).

Selepas ini, Kedah akan meneruskan aksi pada Sabtu ini dengan menanti kunjungan Perak FC di Alor Setar manakala PJ City akan terbang ke Stadium Bandaraya untuk berdepan Penang FC, Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 2:34 PM