Syazwan Msar


KUALA LUMPUR: Wanita berkecimpung dalam sukan lasak sudah menjadi kebiasaan pada masa kini sekali gus memberi gambaran aktiviti itu tidak lagi terhad kepada pembabitan lelaki saja manakala kaum Hawa hanya boleh melakukan kerja rumah atau memasak.

Malah, bagi pemain futsal kebangsaan Nur Shazreen Munazli, 26, berpendapat pembabitan sukan lasak wanita dalam melatih mereka untuk lebih berdaya saing, berjiwa kental dan tidak manja.

Gadis ayu berasal dari Shah Alam itu berkata, dia sememangnya meminati sukan lasak sejak bangku sekolah lagi walaupun ada yang menegur aktiviti itu hanya disertai oleh lelaki.

Kerana amat meminati sukan lasak Shazreen mengambil keputusan berkecimpung dalam futsal secara serius hingga menyarung jersi kebangsaan pada usia 20 tahun.

Katanya, dia ‘jatuh cinta’ dengan futsal selepas menerima pelawaan rakan lelakinya untuk bermain sukan itu ketika cuti sekolah.

“Saya memang meminati aktiviti lasak dan pelawaan daripada rakan itu menyebabkan saya terus ‘melekat’ pada futsal sebelum menyertai beberapa kejohanan.

“Pada usia 20 tahun, saya menerima tawaran untuk menyertai sesi pemilihan skuad kebangsaan dan alhamdulillah terpilih mewakili negara pada Sukan SEA 2013 di Myanmar,” katanya yang kini bekerja sebagai pembantu penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, jika berkelapangan dia gemar melakukan aktiviti mendaki atau berbasikal bersama rakan bagi memastikan terus kekal cergas.

“Saya tidak suka menghabiskan masa dengan melakukan aktiviti tidak berfaedah atau melepak. Sebab itu, saya dan beberapa rakan lain merancang untuk berbasikal dan mendaki gunung jika berkesempatan,” katanya.

Walaupun Shazreen sibuk dengan jadual padat latihan futsal, namun tidak menjejaskan tumpuan terhadap kerjayanya malah majikan turut menyokong pembabitannya dalam sukan itu.

“Majikan sangat memahami, malah akan memberi pelepasan sekiranya saya perlu menjalani latihan atau menyertai kejohanan futsal di luar negara.

“Setakat ini, saya tidak pernah menghadapi masalah cuma dengan jadual yang padat perlu bijak membahagikan masa selain perlu bekerja lebih keras,” katanya.

Selain itu, keluarga juga memberi sokongan dan sentiasa mengikuti perkembangannya dalam arena futsal walaupun sukan itu dilihat kasar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 8:02 AM
NUR Shazreen Munazli.
NUR Shazreen Munazli.