FATIN (kanan)  berlatih bersama rakan pasukan kebangsaan, Nur Shazreen Munazli. FOTO Owee Ah Chun
FATIN (kanan) berlatih bersama rakan pasukan kebangsaan, Nur Shazreen Munazli. FOTO Owee Ah Chun
Syazwan Msar

BERMULA dengan badminton namun pengaruh dan seronok bermain bola sepak bersama abang mendorong Fatin Shahida Azmi, 28, berkecimpung secara serius dalam sukan berkenaan yang sinonim dengan kaum lelaki.

Walaupun wanita bermain bola sepak dilihat tomboi atau kasar namun bagi Fatin sukan terbabit semakin mendapat tempat dalam kalangan wanita seterusnya mampu menjadi platform untuk negara menyerlah di persada antarabangsa.

Menceritakan awal pembabitan dalam dunia bola sepak, anak kelima daripada tujuh beradik itu berkata, dia sering mengikuti ayahnya, Azmi Salleh, 55, bermain bersama rakan.

Katanya, situasi itu mendorong Fatin untuk belajar bermain bola sepak bersama dua abangnya dengan mengikuti mereka ke gelanggang futsal setiap minggu.

“Jika diikutkan saya pemain badminton negeri Terengganu ketika zaman persekolahan, malah sering menyertai kejohanan.

“Ketika itu saya bersekolah di Sekolah Sukan Terengganu Bukit Nenas, Terengganu, dengan sukan utama adalah badminton.

“Saya sememangnya ada potensi dalam badminton namun ketika itu memikirkan mahu cabaran lain menyebabkan menukar ‘bidang’ menceburi sukan lebih ‘kasar’ dan kurang dimainkan wanita,” katanya, ketika ditemui Arena Metro.

FATIN bermain bola sepak sejak berusia 18 tahun sebelum beralih secara serius kepada futsal. FOTO Owee Ah Chun
FATIN bermain bola sepak sejak berusia 18 tahun sebelum beralih secara serius kepada futsal. FOTO Owee Ah Chun

Fatin yang bekerja sebagai pembantu penguatkuasa berkata, dia bermain bola sepak sejak berusia 18 tahun sebelum beralih secara serius kepada futsal.

“Pada peringkat awal, saya mewakili T-Team sebelum dipilih menyarung jersi skuad Terengganu seterusnya dipanggil Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk mewakili pasukan mereka.

“Saya juga pernah mewakili Felda United dan kini bermain untuk Selangor dan skuad kebangsaan dalam kejohanan futsal,” katanya.

Menurutnya, walaupun ada yang memandang sinis pembabitan dalam sukan namun dia tetap bersemangat meneruskan minatnya itu apabila tetap mendapat sokongan ahli keluarga.

“Pencapaian tertinggi adalah mewakili negara pada Kejohanan Futsal Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tahun lalu.

“Jika tiada latihan pula saya gemar melakukan aktiviti lasak atau menonton filem aksi di rumah dan jarang keluar menghabiskan masa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 September 2019 @ 6:01 AM