KETIKA melakukan aktiviti via ferrata di Gunung Kinabalu.
KETIKA melakukan aktiviti via ferrata di Gunung Kinabalu.
Hafiz Ithnin


PEMILIK nama Faherina Mohd Esa ini tidak pernah menganggap tubuh terlalu kurus dan genit sebagai penghalang untuk terjun ke dunia sukan lasak.

Malah, kata-kata negatif yang pernah 'disuakan' kepadanya kerana bentuk tubuhnya tidak 'memiliki taraf atlet' sedikit pun tidak menjadi kudis kepada wanita berusia 40 tahun ini.

Ternyata kata-kata itu sebenarnya menjadi pembakar semangat untuk membuktikan dia mampu melakukan aktiviti sukan lasak yang mungkin di kaca mata orang lain sebagai tidak layak.

Sejak aktif pada 2011, bukan sekali atau dua anak kelahiran Selangor itu bergelar juara dan berada di posisi podium dalam pelbagai kejohanan larian, malah lebih seratus kali.

Faherina berkata, ketika di bangku sekolah dia bukan atlet atau aktif dalam aktiviti larian. Malah, mungkin boleh dikategorikan sebagai pelajar 'nerd' dalam kalangan rakan-rakan.

Jelasnya, segala-galanya bermula apabila dia menjadikan aktiviti mendaki gunung sebagai hobi untuk mengisi waktu lapang pada 2010.

"Ketika itu saya sudah bekerja dalam bidang perbankan. Kerjaya saya menuntut waktu kerja yang agak berlainan dan terlalu sibuk.

"Jadi, saya menjadikan aktiviti mendaki sebagai cara untuk melepaskan tekanan. Tidak sangka sebenarnya saya mempunyai bakat dalam aktiviti luar dan acara sukan lasak," katanya.

SENTIASA berani dalam melakukan aktiviti luar.
SENTIASA berani dalam melakukan aktiviti luar.

Katanya, pada 2011 dia menyertai satu kejohanan larian buat kali pertama dan tidak menyangka terus menyandang gelaran juara.

"Bermula dari situ saya mula aktif menyertai pelbagai kejohanan larian terutama denai sehingga mencapai jarak ultra iaitu melebihi 42 kilometer (km).

"Saya masih ingat kali pertama menyertai Acara Larian Denai The Magnificent Merapoh Trail pada 2015 dan ia adalah larian ultra saya yang pertama sejauh 60km. Saya bergelar juara untuk kategori wanita," katanya.

Katanya, ketagihan dalam bidang larian membawanya menyertai kejohanan multisport yang mempunyai pelbagai disiplin seperti larian denai jarak jauh, berbasikal denai, tali tinggi dan tubing dalam satu kejohanan.

"Sebenarnya apabila saya menyertai kejohanan lasak ini, pertama sekali ialah untuk mencabar diri untuk melihat prestasi diri.

"Apabila berjaya berada atas podium tidak kira bergelar juara atau tidak ia menjadi perkara kedua kerana saya melihat aktiviti sukan lasak membantu untuk memberi gaya hidup yang sihat," katanya.

Ditanya mengenai kata-kata yang menyindir mengenai bentuk tubuhnya, katanya, pada awal pembabitan beratnya hanya 39kg dan kini 46kg.

"Saya masih ingat pertanyaan saya kepada seorang kenalan untuk menguji diri dalam multisport. Beliau katakan saya tidak layak kerana berat badan yang terlalu kurus dan kecil.

"Bagaimanapun, saya tidak mengambil hati mengenai perkara itu, tetapi berusaha dengan terus berlatih bagi memastikan badan bersedia untuk menyertai kejohanan itu. Syukur hasil usaha, saya mampu berada atas podium," katanya.

Ketika ditanya mengenai jumlah kejohanan yang sudah disertai, sudah tentu tidak terbilang kerana terlalu banyak. Apatah lagi bukan sekadar di Malaysia, malah di luar negara.

"Ramai yang bertanya adakah saya ingin menjadi atlet dalam kejohanan multisport, tetapi saya tidak ke arah itu memandangkan saya ingin hanya menjadikan ia sebagai hobi yang mampu memberi manfaat kepada kesihatan.

WANITA yang berani dalam aktiviti lasak.
WANITA yang berani dalam aktiviti lasak.

"Bagi saya apabila sudah mempunyai minat dalam sebarang perkara, jangan jadikan kata-kata orang sebagai penghalang, tetapi kita perlu berusaha untuk mencapai matlamat yang diinginkan," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2022 @ 7:00 AM