AKTIVITI larian antara yang disertai Hazlan.
AKTIVITI larian antara yang disertai Hazlan.
Hafiz Ithnin

"Saya buat semua aktiviti ini sebagai rangsangan dan semangat kepada anak-anak bahawa kekurangan diri bukan sesuatu yang memalukan dan kita boleh jalani hidup seperti orang normal," kata Hazlan Aris, 45.

Bapa kepada lima anak itu yang menamakan diri di dalam Instagram sebagai outdoorskelainanupaya, adalah orang kelainan upaya (OKU) sejak kecil kerana memiliki saiz kaki kiri yang lebih pendek.

Sejak 2016, Hazlan perlu memakai tongkat sebagai penyokong pergerakan memandangkan kaki kirinya mengalami masalah kesihatan. Namun, kekurangan itu bukan menjadi penghalang buat insan kental ini untuk aktif dalam aktiviti larian, mendaki gunung dan menyertai kejohanan berbasikal sejauh 100 kilometer (KM)

Bercerita kembali mengenai semangat untuk anak-anak, katanya, lemparan kata-kata 'usikan' kanak-kanak sebaya kadang-kala memberi kesan kepada anak-anaknya yang merasakan bapa mereka tidak normal seperti orang lain.

"Bapa tempang atau cacat menjadi usikan kepada anak-anak ketika mereka di sekolah. Biasalah budak-budak, mungkin tidak faham dengan apa yang dikatakan.

MELAKUKAN aktiviti lasak menjadikan Hazlan positif dalam kehidupan.
MELAKUKAN aktiviti lasak menjadikan Hazlan positif dalam kehidupan.

"Jadi, kalau dulu anak-anak masih kecil, mereka balik mengadu hal itu dan kita boleh nasihatkan jangan ambil hati kerana perkara itu betul dan tidak ada yang perlu dimalukan dengan kekurangan saya kerana kita jalani kehidupan seperti orang lain," katanya.

Anak kelahiran Klang, Selangor itu juga berkata, dia mula aktif di dalam aktiviti mendaki gunung ketika zaman kolej lagi dan merasakan status OKU bukan penghalang memandangkan ketika itu dia tidak memerlukan tongkat untuk mendaki. Cumanya, dari segi kepantasan, tidak seperti orang lain.

Jelasnya, begitu juga dengan aktiviti berbasikal dia pernah menyertai beberapa kejohanan 'mountain bike' sebelum perlu memakai tongkat dan kasut khas.

"Bagi saya tidak ada kurangnya untuk melakukan aktiviti rekreasi yang lasak jika berstatus OKU kerana kita sama seperti orang lain dari segi mental. Bezanya adalah saya tidak mempunyai kecukupan dari segi keupayaan fizikal.

LALUAN sukar yang perlu dilalui ketika mendaki.
LALUAN sukar yang perlu dilalui ketika mendaki.

"Jika di luar negara, orang yang berkerusi roda sudah boleh mendaki tebing batu atau mendaki dalam keadaan yang lebih ekstrim memandangkan mereka mempunyai komuniti serta masyarakat yang bersifat tidak mengetepikan hak selain sentiasa menyokong," katanya.

Pelukis Pelan itu juga berkata, sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) boleh dikatakan setiap hujung minggu dia bersama keluarga melakukan aktiviti rekreasi terutama mendaki gunung atau bukit.

"Anak-anak, memang saya dan isteri, Rohaya Tarmizi galakkan untuk menyertai aktiviti mendaki kerana ia dapat menjadikan mereka lebih sihat serta dalam masa sama memupuk diri menjadi orang yang sabar.

"Ada beberapa kali, anak yang sulung, Hudzaifah, 17, menjadi 'penyambung' pendakian dalam aktiviti mendaki gunung yang mengambil masa lama jika saya tidak dapat meneruskan perjalanan. Bagi saya bagus kerana Hudzaifah seakan-akan membawa semangat saya sehingga ke puncak," katanya.

Setakat ini, Hazlan sudah tiga kali mendaki Gunung Korbu di Perak iaitu salah satu daripada tujuh puncak tertinggi di Semenanjung Malaysia.

Katanya, sebagai peminat aktiviti rekreasi dia mempunyai hasrat untuk melengkapkan enam gunung yang lain tetapi memerlukan kumpulan sokongan kerana tempoh pendakian mengambil masa lebih lama.

AKTIVITI lasak Hazlan untuk menjadi pembakar semangat anak-anak.
AKTIVITI lasak Hazlan untuk menjadi pembakar semangat anak-anak.

"Memang dari zaman bujang saya mempunyai rakan-rakan yang menjadi peneman setia kalau mendaki. Sejak memakai tongkat, saya perlu fikirkan, jika mendaki dalam kumpulan akan menjadi masalah kepada orang lain sekiranya saya perlu mengambil masa yang lama untuk tiba ke kem atau puncak.

"Jadi, saya ambil keputusan kalau mendaki yang mempunyai perjalanan jauh, saya hanya berhenti di kem tertentu dan ia menjadi 'puncak' saya. Bagi saya tidak ada masalah kerana ia sudah cukup berharga kerana kita sudah mencuba dan paling penting tidak menyusahkan ahli kumpulan lain," katanya.

Katanya, isteri juga menjadi individu yang sentiasa menyokong untuk dia aktif di dalam aktiviti larian dan menyertai kategori OKU.

KASUT khas digunakan Hazlan dalam aktiviti rekreasi.
KASUT khas digunakan Hazlan dalam aktiviti rekreasi.

"Isteri saya yang galakkan saya menyertai larian jarak pendek atau 'fun run' untuk bersama-sama berlari dengan orang lain walaupun saya dalam kategori OKU.

"Ketika berlari, akan jumpa orang yang senasib dengan saya dan mereka kini menjadi rakan-rakan yang aktif dalam pelbagai aktiviti rekreasi," katanya.

Hazlan berkata, dia amat berbangga kerana di Malaysia sudah banyak acara larian yang membabitkan golongan OKU kerana ia menjadi platform kepada insan sepertinya merasa tidak terpinggir dan lebih yakin apabila berada dalam masyarakat.

"Memanglah apabila kita sertai sesuatu acara larian itu, orang akan tengok pelik kerana keadaan pergerakan fizikal yang tidak normal tetapi ia sebenarnya menjadikan golongan OKU ini merasakan mereka tidak dibezakan dalam aktiviti sukan," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 7:00 AM