AKTIVITI lasak membawa Nur’Syahirah mengembara ke pelbagai lokasi menarik.
AKTIVITI lasak membawa Nur’Syahirah mengembara ke pelbagai lokasi menarik.
Hafiz Ithnin


DI sebalik purdah yang disarungkan gadis berusia 27 tahun ini, ternyata jiwanya dalam aktiviti lasak tidak boleh dipisahkan.

Malah, bagi anak kelahiran Selangor yang membesar di Kelantan itu pemakaian purdah bukan menjadi halangan untuk melakukan aktiviti lasak dan mengembara di negara bukan Islam khasnya.

Bagi pemilik nama Nur'Syahirah Mohd Ruzaizol, pemakaian purdah kadangkala memberi kelebihan kepadanya dalam aktiviti lasak seperti mendaki kerana jika pendaki lain perlu kurang selesa memakai kain menutup separa muka untuk berasa lebih panas, namun selesa baginya.

Selain itu, dia juga berasakan lebih dihormati ketika mengembara ke negara bukan Islam kerana masyarakat dunia pada hari ini sudah memahami mengenai wanita Islam yang berpurdah.

Katanya, dia mula berpurdah pada usia 18 tahun. Ketika itu seusai menamatkan tingkatan lima. Rakan-rakan yang berpurdah yang dilihat mempunyai pekerti lebih baik menjadi perangsang untuk dia turut menyarungkan purdah sehingga hari ini.

"Apabila kita sudah memakai purdah secara tidak langsung kita akan menjaga aurat dan kelakuan kerana ia mencerminkan identiti sebagai wanita Islam.

"Meskipun memakai purdah ini dilihat sukar bagi sesetengah individu yang ingin melakukan aktiviti lasak kerana perlu memastikan aurat sentiasa terjaga, sebenarnya tiada halangan untuk si pemakainya," katanya.

Nur'Syahirah yang mempunyai ijazah sarjana muda di sebuah universiti di Indonesia dalam bidang dakwah dan komunikasi kini turut melanjutkan pengajian sarjana (master) di Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam jurusan kaunseling sebenarnya sudah terbiasa dengan komuniti berpurdah di Indonesia yang melakukan aktiviti lasak.

Katanya, wanita berpurdah di Indonesia ramai yang melakukan aktiviti mendaki gunung. Malah tidak janggal menyarungkan jubah ketika melakukan kegiatan itu.

"Mungkin gunung di sana tidak begitu berlumpur seperti di Malaysia. Bagi saya, apabila melakukan aktiviti, pemakaian juga memainkan peranan penting. Tidaklah apabila perlu mendaki kawasan berlumpur saya perlu menyarung jubah, cukup mengenakan pakaian sesuai dengan identiti sebagai wanita berpurdah.

"Lebih utama ialah kita tahu menjaga aurat dan kelakuan ketika melakukan aktiviti berkenaan. Bagi saya biar meletakkan sesuatu di tempat betul. Islam itu mudah," katanya.

Ketika temu bual ini dilakukan, Nur'Syahirah baharu sahaja kembali dari Nepal kerana mengikuti pendakian ke Kem Induk Annapurna (ABC).

Menceritakan pengalamannya mendaki ke kem induk beraltitut tinggi itu, Nur'Syahirah berkata, dia tidak mengalami masalah ketika mendaki ke lokasi berketinggian 4,230 meter itu.

Katanya, purdah yang disarungkan seperti menjadi penyelamat daripada mengalami kesejukan dan tidak mengalami penyakit akut gunung (AMS).

"Memandangkan ABC terletak di kawasan beraltitut tinggi melepasti aras 3,500 meter yang diketahui mudah untuk mendapat AMS, saya yang memakai purdah tidak mengalami masalah itu.

"Mungkin sudah terbiasa dengan menutup bahagian hidung dan mulut. Jadi, pengawalan pernafasan ketika mendaki menjadi lebih mudah. Tambahan, saya tidak memerlukan kain tambahan untuk menutup mulut dan hidung bagi mengelakkan rasa sejuk," katanya.

Jelasnya lagi, di lapangan terbang ketika mengembara ke luar negara, pihak berkuasa juga tidak menyuruhnya membuka purdah kerana menghormati pemakaian berkenaan.

"Cuma apabila membabitkan keselamatan seperti untuk mengimbas muka saya perlu membuka purdah untuk seketika.

"Selebihnya mereka tidak pernah menyuruh saya membuka purdah. Mungkin masyarakat global sudah mula menyedari mengenai wanita berpurdah," katanya.

Bercerita mengenai aktiviti lasak, katanya, dia mula berminat dalam kegiatan itu bermula daripada bapanya yang meminati menonton filem atau rancangan sukan lasak.

"Apabila selalu menonton dokumentari atau filem itu menjadikan saya ingin mencuba aktiviti yang dilakukan berkenaan.

"Jadi, ketika di universiti saya mula menyertai pelbagai aktiviti lasak seperti mendaki dan ia adalah ilmu serta pengalaman yang begitu menyeronokkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2022 @ 7:00 AM