Paul Scholes letak jawatan sebagai pengurus Oldham. FOTO Reuters.
Paul Scholes letak jawatan sebagai pengurus Oldham. FOTO Reuters.
AFP

BEKAS bintang Manchester United, Paul Scholes meletakkan jawatan sebagai pengurus Oldham, semalam selepas hanya 31 hari memegang jawatan berkenaan bersama kelab Liga Dua Inggeris itu.

Scholes meninggalkan Boundary Park selepas kelab yang beroperasi tempat kelahirannya itu didakwa tidak mengotakan janji yang dibuat sebelum ini.

Pengurus berusia 44 tahun mula bertugas di Oldham bulan lalu dan memenangi perlawanan pertamanya.

Namun bekas pemain tengah England itu gagal mencatat kemenangan dalam enam perlawanan seterusnya dan menduduki tangga ke-14 dalam liga divisyen empat Inggeris.

“Ia adalah satu penyesalan besar kerana saya perlu meninggalkan kelab dengan serta merta,” kata Scholes dalam satu kenyataan.

“Saya berharap dapat bertahan sehingga ke penghujung tempoh 18 bulan dalam kontrak saya sebagai pengurus kelab yang saya sokong seumur hidup ini.

“Semua peminat, pemain, rakan-rakan dan keluarga semuanya tahu betapa bangga dan terujanya saya untuk menerima tanggungjawab ini.

“Malangnya dalam tempoh singkat sejak saya mengambil alih peranan ini ia menjadi jelas yang saya tidak akan mampu beroperasi seperti yang saya mahukan sebelum saya bersetuju memikul tanggungjawab ini.

“Saya mengucapkan selamat kepada peminat-peminat, pemain dan staf, yang semuanya menakjubkan untuk mengharungi baki musim ini dan akan terus menonton dan menyokong kelab ini sebagai peminat.”

Scholes yang pernah memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara sewaktu zaman kegemilangannya bersama United. Dia dilantik sebagai pengurus Oldham pada 11 Februari lalu dengan kontrak satu setengah tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 12:13 PM