SKUAD Melaka United (MU). FOTO Khairunisah Lokman.
SKUAD Melaka United (MU). FOTO Khairunisah Lokman.
Syazwan Msar

SHAH ALAM: Skuad Melaka United (MU) mungkin terpaksa melupakan khidmat dua tonggaknya untuk perlawanan akan datang apabila seorang lagi pemain, Ahmad Khuzaimi Piee diusung keluar selepas mengalami kecederaan serius pada perlawanan menentang PKNS di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Pengendali MU Zainal Abidin Hassan berkata, sebelum ini pasukan terpaksa menggugurkan nama pemain import Darko Markovic untuk kesebelasan utama dalam dua perlawanan sebelum ini akibat kecederaan.

Namun, pertahanan MU Khuzaimi mungkin mengikut jejak langkah Markovic terpaksa berehat untuk perlawanan akan datang apabila mengalami kecederaan sekali gus Zainal Abidin perlu mencari pengganti bagi memantapkan pasukan.

“Sebelum ini, dua perlawanan MU terpaksa melupakan khidmat Zarco yang masih menjalani rawatan akibat kecederaan ketika sesi latihan.

“Malam tadi(kelmarin), Ahmad Khuzaimi pula cedera dan berharap tidaklah begitu serius dan boleh bermain untuk perlawanan nanti, namun kena tunggu selepas dia menjalani rawatan,” katanya, dalam sidang media selepas perlawanan PKNS menentang MU di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Pada perlawanan terbabit, Khuzaimi terpaksa diusung keluar pada minit ke-70 sebelum diganti dengan Ramzi Haziq Mohamad.

Sementara itu, Zainal Abidin berkata, gandingan mantap pemain tengahnya Liridon Krasniqi dan Safiq Rahim mampu merencanakan serangan ke kubu lawan secara menyeluruh.

“Kita boleh lihat gandingan Liridon dan Syafiq menghasilkan corak permainan yang baik dan boleh membantu pasukan meraih gol,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 9:00 PM