Kuantan: Penyerang import Pahang Matias Conti berpuas hati dapat membantu skuad itu menang 3-0 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada aksi Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam kelmarin.

Pemain berusia 25 tahun itu berkata, dua gol yang dijaringkan memberinya semangat untuk lebih bersedia membolosi gawang lawan selepas baru pulih daripada kecederaan betis.

Katanya, perasaan gembira tidak dapat disembunyikan selepas menjaringkan satu gol masing-masing pada setiap babak untuk memastikan Pahang layak ke suku akhir.

“Semuanya dilihat begitu sempurna dan saya berterima kasih kepada rakan sepasukan kerana beraksi dengan baik selepas kami mengalami dua kekalahan berturut-turut sebelum ini,” katanya semalam.

Pada perlawanan kelmarin, Conti menjaringkan dua gol pada minit ke-30 dan ke-81 manakala satu gol lagi dijaringkan rakannya Dickson Nwakaeme pada minit ke-28.

Kemenangan itu juga memastikan Pahang layak ke suku akhir Piala Malaysia biarpun masih lagi berbaki satu perlawanan apabila mengumpul sembilan mata.

Manakala, satu lagi slot ke suku akhir dari Kumpulan D masih menjadi rebutan PDRM, PKNS FC dan Pulau Pinang.

Mengulas prestasi Conti, jurulatih skuad itu Zainal Abidin Hassan berpuas hati dengan persembahan pemain kelahiran Argentina itu yang berjaya menjaringkan dua gol ketika Pahang begitu memerlukan kemenangan.

“Saya bangga dengan Conti walaupun pada satu ketika dia tidak beraksi dengan baik tapi kembali dengan sentuhan gol membantu pasukan untuk meraih kemenangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2015 @ 5:06 AM