SHAHROM (kanan) bersama Kim Swee ketika sidang media.
SHAHROM (kanan) bersama Kim Swee ketika sidang media.
myMetro

Shah Alam: Pertahanan tengah Shahrom Kalam mahu melupakan tragedi di Port Moresby Jun lalu dengan membantu Harimau Malaysia mengalahkan Papua New Guinea pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam, hari ini.

Skuad kebangsaan kendalian Datuk Ong Kim Swee tewas 0-2 kepada lawan dalam siri Jelajah Oceania, 17 Jun lalu.

Lebih memeritkan buat Shahrom apabila dia terpaksa diusung keluar pada minit ke-66 akibat kecederaan lutut dan Harimau Malaysia terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada baki perlawanan itu. Dia kemudian terpaksa berehat panjang.

Kapten Selangor itu tidak berada dalam kesebelasan utama pada final Piala Malaysia bulan lalu kerana baru pulih daripada kecederaan dan kini dia mahu memberi fokus bersama Harimau Malaysia bagi kempen Piala AFF di Yangon, Myanmar.

“Kami sudah bersedia untuk saingan Piala AFF. Tahap saingan di peringkat kelab dan negara berbeza, tekanan sangat tinggi jadi sebagai pemain kami perlu bersedia,” katanya.

Pemain berusia 31 tahun ini dijangka diturunkan oleh Kim Swee untuk bergandingan dengan Shahrul Saad atau Fadhli Shas di posisi pertahanan tengah hari ini.

Bagaimanapun Shahrom menegaskan tidak berdepan masalah untuk bergandingan dengan mana-mana pemain.

“Sama ada bermain atau tidak, itu terpulang kepada keputusan jurulatih. Sebagai pemain hanya perlu bersedia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2016 @ 9:07 AM