BOJAN HODAK
BOJAN HODAK
Syafiq Aznan

 

KUALA LUMPUR: Ramai yang bagus tetapi ada juga yang tidak menepati standard beraksi di peringkat antarabangsa.

Itu rumusan awal yang diberikan jurulatih skuad Bawah 19 tahun negara (B-19), Bojan Hodak mengenai kualiti dan kemampuan 28 pemain B-19 yang dipanggil pada kem latihan pusat Fasa 1 yang berakhir semalam.

 

Bagaimanapun, Hodak menegaskan, itu bukanlah gambaran sebenar mengenai kemampuan semua pemain terbabit, kerana penilaian secara keseluruhan tidak boleh dibuat hanya berdasarkan sesi latihan seminggu dan satu aksi persahabatan.

“Kita akan tunggu sehingga kejohanan Piala Sanix di Jepun pada Mac ini, kerana ketika itu adalah detik terbaik untuk membuat penilaian.

 

“Ini kerana kita tidak berpeluang untuk melihat kemampuan sebenar pemain pada latihan semata-mata.

 

“Jadi, pada aksi antarabangsa nanti barulah kita boleh lihat pemain yang cukup bagus dan pemain yang tidak memiliki apa yang diperlukan bagi beraksi di tahap antarabangsa,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan Fasa 2 skuad B-19 di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.

 

Latihan Fasa 2 mula membuka tirainya hari ini yang menyaksikan seramai 24 pemain baharu dipanggil untuk menjalani latihan selama seminggu sehingga Ahad ini.

Sebelum ini, Hodak - pengendali kelahiran Croatia mengakui kecewa dengan kualiti 28 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat Fasa 1 yang bermula Isnin, minggu lalu.

 

Teruk dan tidak memenuhi kriteria, Bojan turut 'pening kepala' selepas melihat situasi terbabit, namun menegaskan masih terlalu awal untuk dia membuat penilaian ketika itu.

Sebagai rekod, kalendar skuad B-19 tahun ini dilihat agak sibuk - yang menyaksikan mereka akan bersaing pada Piala Sanix di Jepun, Mac ini.

 

Selepas itu, mereka akan mengharungi Kejuaraan B-19 AFF 2019 (Julai), sebelum beraksi dalam kelayakan Kejuaraan B-19 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020 (September).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 7:00 PM