Bojan Hodak. FOTO NSTP.
Bojan Hodak. FOTO NSTP.
Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: Timbul kerisauan dalam diri pengendali skuad Bawah 19 tahun negara (B-19), Bojan Hodak selepas memulakan kem latihan pusat Fasa 2 di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang membuka tirainya, semalam.

Pengendali kelahiran Croatia itu menyatakan kegusarannya terhadap kelibat beberapa pemain yang dipanggil menyertai latihan sepanjang minggu ini memandangkan ada antara mereka yang langsung tidak beraksi bersama pasukan tahun lalu.

"Seramai 24 pemain baharu dipanggil untuk latihan Fasa 2 dan ada tiga pemain yang dikekalkan daripada minggu lalu. Kebanyakannya pemain yang beraksi tahun lalu.

"Masalahnya di sini adalah pemain yang tidak pernah beraksi sepanjang tahun lalu dan nama mereka dicadangkan oleh pasukan untuk menyertai latihan bersama skuad B-19.

"Apapun, kita akan menjalani latihan selama seminggu dan selepas itu kita akan menilai bagaimana kualiti generasi baharu skuad B-19 ini," katanya ketika ditemui pada sesi latihan, semalam.

Dalam masa sama, Hodak turut memanggil lima pemain daripada Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) bagi latihan fasa kedua ini selepas dua pemain sudahpun dipanggil menyertai latihan minggu lalu.

"Mereka ini antara pemain berpotensi yang kita lihat dan mampu mengisi di posisi yang diperlukan. Apa yang saya mahu lihat adalah mereka dapat membuktikan kemampuan bersaing dengan pemain lebih berusia.

"Seperti saya katakan sebelum ini, usia tidak menjadi masalah memandangkan semuanya bergantung kepada kemampuan mereka sama ada boleh bermain di peringkat lebih tinggi," katanya.

Sebagai rekod, kalendar skuad B-19 tahun ini dilihat agak sibuk - yang menyaksikan mereka akan bersaing pada Piala Sanix di Jepun, Mac ini.

Selepas itu, mereka akan mengharungi Kejuaraan B-19 AFF 2019 (Julai), sebelum beraksi dalam kelayakan Kejuaraan B-19 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020 (September).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 3:28 PM