HODAK (tengah) ketika mengendalikan sesi latihan ringan skuad bawah 19 negara di Wisma FAM.  FOTO/LUQMAN HAKIM ZUBIR
HODAK (tengah) ketika mengendalikan sesi latihan ringan skuad bawah 19 negara di Wisma FAM. FOTO/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Zulfaizan Mansor


JURULATIH skuad bawah 19 (B-19) tahun negara, Bojan Hodak menyifatkan tiga aksi yang bakal dilalui anak buahnya di Thailand bukan sekadar perlawanan persahabatan biasa.

Sebaliknya, Hodak menegaskan pertemuan dengan skuad B-19 Thailand, Assumption United dan dan Chonburi FC itu sangat penting dalam usaha memperkemaskan skuad muda negara pada tahap terbaik.

Beliau berkata, prestasi anak buahnya pada tiga perlawanan itu juga bakal diambil kira bagi mengkaji dan memperbaiki segala kelemahan sebelum menghadapi Kejuaraan B-19 AFF 2018 pada Julai ini.

“Kami cuba memberikan pendedahan paling terbaik buat semua pemain terutama yang baru dipanggil menyertai skuad ini.

“Mereka perlu biasakan diri dengan perlawanan antarabangsa yang mencabar. Saya juga akan beri peluang bermain kepada pemain yang kurang beraksi.

“Tiga perlawanan ini penting dan semua pemain perlu pamerkan persembahan terbaik. Mereka perlu tunjukkan kemampuan sebenar untuk saya membuat penilaian,” katanya.

Hodak bersama skuadnya berlepas ke Bangkok, Thailand, hari ini bagi menghadapi tiga perlawanan persahabatan antarabangsa bermula dengan aksi berdepan skuad B-19 Thailand, esok sebelum menentang Assumption United (Sabtu) dan Chonburi (Isnin).

Tiga aksi berkenaan menjadi persiapan awal skuad kendalian Hodak itu menjelang Kejuaraan B-19 AFF 2018 yang akan berlangsung di Bogor dan Surabaya, Indonesia dari 1 hingga 14 Julai 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mei 2018 @ 4:49 PM