Lee Chong Wei.
Lee Chong Wei.
Helmi Talkah


KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei mahu semua pemain - junior, senior atau profesional bersatu seperti satu keluarga besar bagi mengembalikan kegemilangan sukan badminton negara yang dilihat semakin tercalar reputasinya.

Bekas pemain nombor satu dunia itu berkata, keputusan positif dilakar pemain negara pada saingan Masters Malaysia yang berakhir semalam, seharusnya dijadikan pencetus semangat untuk memastikan Malaysia kembali digeruni.

"Pertamanya, saya sangat gembira dengan prestasi yang ditunjukkan semua pemain negara dalam kejohanan ini, ia permulaan yang baik untuk pasukan badminton negara bagi tahun 2019.

"Saya harap semua pemain tidak kira muda, senior atau yang berada di luar (profesional) dapat bersatu seperti keluarga.

“Kita semua perlu bekerja dan berjuang bersama-sama bagi memastikan tahun ini menjadi lebih baik berbanding tahun lalu.

"Kerjasama dan sokongan antara satu sama lain sangat penting. Saya harap apa yang dicapai dalam kejohanan ini dapat diteruskan, jadikan ia sebagai pencetus semangat bagi meraih lebih kejayaan selepas ini,” kata Chong Wei.

Barisan pemain negara umpama baru terjaga daripada tidur yang lena apabila menyaksikan lapan wakil Malaysia layak sehingga suku akhir, enam (separuh akhir) dan satu (akhir) dalam kejohanan yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil itu.

Beregu lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin mara sehingga ke pentas akhir sebelum tewas di tangan pasangan nombor satu dunia dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideo-Kevin Sanjaya Sukamuljo.

Sebelum itu, Ee Yi-Yew Sin mengesahkan tempat ke final dengan menewaskan rakan sepasukan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik di separuh akhir.

Tiga wakil profesional iaitu perseorangan lelaki, Liew Daren; beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying turut mara sehingga separuh akhir.

Selain tiga wakil profesional itu, skuad kebangsaan turut mempunyai wakil di kelompok empat terbaik dalam acara perseorangan wanita menerusi juara remaja dunia dua kali, Goh Jin Wei, 

Pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia dan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie pula terkandas di suku akhir.

Kehadiran Chong Wei yang baru pulih daripada kanser hidung di Axiata Arena bagi menyaksikan aksi akhir semalam mencuri tumpuan peminat badminton tempatan.

Dia diberi penghormatan bagi menyampaikan hadiah kepada juara dan naib juara perseorangan lelaki.

Pemain Korea Selatan, Son Wan Ho muncul juara selepas menewaskan juara dunia dan Olimpik dari China, Chen Long.

Chong Wei mengakui sebaik menjejakkan kaki di Axiata Arena semalam, dia berasa geram untuk kembali menyertai kejohanan dan beraksi di gelanggang selepas kali terakhir melakukannya pada saingan Terbuka Indonesia, Julai 2018.

Pemain berusia 37 tahun itu terpaksa berehat panjang bagi menjalani rawatan di Taiwan susulan kanser hidung dihidapinya.

Katanya, dia sempat berbual ringkas dengan Chen Long ketika majlis penyampaian hadiah dan bintang sensasi China mahu dia kembali beraksi secepat mungkin.

"Saya ucap tahniah kepada Chen Long kerana berjaya sehingga ke pentas akhir, di dalam gelanggang kami musuh tetapi di luar kami kawan, malah semua pemain kawan saya.

“Chen Long minta saya kembali beraksi secepat mungkin dan saya beritahu dia saya cuba buat yang terbaik.

"Geram memang geram untuk beraksi dalam kejohanan, tetapi apa yang penting untuk saya sekarang adalah kesihatan. Saya memang mahu kembali secepat mungkin tetapi saya perlu mengikut nasihat doktor.

"Sekarang saya sudah kembali menjalani latihan dan diharapkan semuanya akan berjalan dengan lancar," katanya.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 3:33 PM