CHONG Wei tidak mahu lepas peluang beraksi di laman sendiri. Foto fail
CHONG Wei tidak mahu lepas peluang beraksi di laman sendiri. Foto fail
Helmi Talkah


JAGUH perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei teruja untuk memulakan aksi musim 2018 di depan penonton tempatan apabila turun menentang pemain Jepun, Kenta Nishimoto dalam aksi pusingan pertama Malaysia Masters di Axiata Arena Bukit Jalil, esok.

Selepas timbul persoalan mengenai penyertaan Chong Wei dalam kejohanan bertaraf Siri Super itu, pemain nombor dua dunia berkenaan menyifatkan dia tidak mahu terlepas peluang beraksi di laman sendiri dengan misi memburu permulaan yang baik bagi musim 2018.

“Selepas bincang dengan jurulatih, saya fikir saya perlu bermain dalam kejohanan ini. Lagipun, pemain utama dunia yang lain juga akan beraksi di sini, jadi ia medan terbaik untuk saya mendapat rentak semula selepas kejohanan terakhir pada Siri Super Akhir di Dubai (bulan lalu).

“Saya tidak letak sebarang sasaran khusus tetapi saya janji saya akan buat yang terbaik di hadapan penonton sendiri,” kata Chong Wei yang muncul naib juara di Dubai selepas tewas kepada pemain Denmark, Viktor Axelsen dalam aksi final.

Chong Wei dan Axelsen berpeluang bertemu sekali lagi jika masing-masing berjaya mara ke final kali ini.

Selain Chong Wei dan Axelsen, dua bintang China, Chen Long dan Lin Dan turut beraksi bagi merebut gelaran juara termasuk pemain Korea Selatan, Son Wan Ho.

Sebagai rekod, Chong Wei sudah lima kali menjuarai Malaysia Masters dengan kali terakhir pada edisi 2016 di Pulau Pinang yang menyaksikan dia menewaskan rakan senegara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin di pentas final.

Antara pemain utama negara lain yang turut beraksi di pusingan pertama esok ialah beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang akan menentang pasangan Russia, Vladimir Ivanov-Ivan Sozonov manakala Teo Ee Yi-Ong Yew Sin berdepan beregu profesional, Lim Khim Wah-Yoo Yeon Seong.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2018 @ 8:52 PM