CHONG Wei kini sudah berusia 36 tahun. FOTO/FAIL
CHONG Wei kini sudah berusia 36 tahun. FOTO/FAIL
Fabian Peter


BEKAS pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei mengakui masa sudah berubah dan semakin sukar untuk dirinya bagi mengatasi lawan yang lebih muda.

Masih segar dengan kejayaan meraih pingat emas ketiga Sukan Komanwel Gold Coast awal bulan ini, jaguh perseorangan lelaki negara berusia 36 tahun itu akan membuka tirai saingan Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Wuhan, China, esok.

Chong Wei yang juga juara dua kali akan menentang pemain China, Qiao Bin di pusingan pertama.

“Saya sedar masa sudah berubah dan ia tidak lagi mudah untuk saya. Setiap pemain muda mahu menewaskan saya, tetapi tidak mengapa, saya boleh terima hakikat ini.

“Apa yang lebih penting adalah persiapan saya untuk menghadapi setiap cabaran. Ketika ini, saya dalam keadaan baik, jadi saya akan fokus satu demi satu perlawanan,” kata Chong Wei ketika dihubungi, hari ini.

Jika berjaya mara ke suku akhir, Chong Wei dijangka membuat perhitungan dengan pemain nombor empat dunia, K Srikanth dari India - lawan yang ditewaskannya ketika aksi final Sukan Komanwel.

Selain itu, pemain lain yang turut berada dalam laluan Chong Wei ialah pemain Taiwan, Chou Tien Chen, Shi Yuqi (China) dan Kento Momota yang kini dalam usaha mendapatkan semula rentaknya selepas tamat tempoh penggantungan.

Juara dunia lima kali, Lin Dan dan pemenang pingat emas Olimpik, Chen Long hanya akan bertemu Chong Wei jika masing-masing layak ke final.

Dalam pada itu, Chong Wei turut mengakui saingan BAC adalah medan terbaik untuk pemain negara membuktikan kemampuan dalam persiapan menghadapi pusingan akhir Piala Thomas di Bangkok, Thailand, bulan depan.

Pemain negara yang turut beraksi di Wuhan ialah beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani serta Chooi Kah Ming-Low Juan Shen manakala perseorangan wanita digalas Goh Jin Wei dan Lee Ying Ying.

Gandingan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean bersama Soong Fie Cho-Tee Jing Yi pula akan menggalas tugas dalam beregu wanita sementara Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dalam beregu campuran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 April 2018 @ 7:06 PM