Subramaniam kata pihaknya belum menerima keputusan kerajaan secara rasmi mengenai kejohanan itu. FOTO NSTP
Subramaniam kata pihaknya belum menerima keputusan kerajaan secara rasmi mengenai kejohanan itu. FOTO NSTP
Jumiati Rosly

 

KUALA LUMPUR: Biarpun kerajaan kekal dengan pendirian tidak membenarkan atlet Israel bertanding pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak, penganjur kejohanan, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menjelaskan tiada perenang dari Israel layak ke kejohanan itu hingga saat ini.

Naib presiden MPM yang juga Ketua Pegawai Operasi (Teknikal) kejohanan, Datuk R Subramaniam berkata, pihaknya masih belum menerima keputusan kerajaan secara rasmi mengenai kejohanan yang akan berlangsung pada 29 Julai hingga 4 Ogos ini.

"Kita tak tahu lagi sama ada Israel datang atau tidak kerana kejohanan ini bukan semua orang boleh datang sertai. Hanya mereka yang melepasi kelayakan masa minimum ditetapkan boleh sertai. 

“Buat masa sekarang ada 21 negara sudah hantar pendaftaran dan tempahan tetapi Israel bukan satu daripadanya, bukan dalam senarai itu," katanya selepas program larian Wheel, walk and Fun Run sempena Hari OKU Sedunia Peringkat Kebangsaan, di sini, hari ini. 

Subramaniam berkata, tarikh tutup penyertaan kejohanan itu bagaimanapun hanya akan berakhir pada 24 Jun ini.

Ketika ditanya sama ada MPM bercadang untuk menarik diri daripada menganjurkan kejohanan itu, Subramaniam berkata: "Tidak. Banyak persiapan sudah dilakukan dan proses menarik diri bukanlah dalam fikiran kami lagipun kami sudah melabur banyak. Banyak usaha dan tenaga sudah dilaburkan," katanya. 

Beliau berkata, bidaan untuk proses menganjurkan kejohanan itu kepada Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) terlebih dulu mendapat persetujuan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan negara memperoleh hak penganjuran pada September 2017 lagi. 

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pendirian kabinet adalah jelas sama seperti disuarakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad Khamis iaitu kekal dengan pendirian tidak membenarkan atlet Israel bertanding dan bersedia jika hak penganjuran kejohanan itu ditarik balik.

Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang bakal dianjurkan di Pusat Akuatik Pandelela Rinong bakal menyaksikan kejohanan itu dianjurkan buat kali pertama di benua Asia dengan kerajaan negeri Sarawak membelanjakan RM5 juta bagi penganjuran kejohanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 4:49 PM