SM NASARUDIN SM NASIMUDDIN
SM NASARUDIN SM NASIMUDDIN
Saiful Affendy Sapran


KUALA LUMPUR: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menghormati keputusan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC), yang membatalkan hak penganjuran Malaysia untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang akan dianjurkan di Kuching pada 29 Julai sehingga 4 Ogos ini.

“MPM akan menghormati keputusan lembaga pengurusan IPC membatalkan perjanjian penganjuran berdasarkan hak mereka.

“Manakala, MPM akan mematuhi sebarang keputusan Kerajaan Persekutuan berhubung perkara ini,” kata Presiden MPM, SM Nasarudin SM Nasimuddin, dalam satu kenyataan, hari ini.

NSTP semalam melaporkan keputusan pembatalan itu diputuskan pada mesyuarat di London, selepas Kementerian Dalam Negeri Malaysia gagal memberikan jaminan diperlukan oleh perenang Para Israel untuk menyertai kejohanan, bebas daripada diskriminasi dan selamat dalam kejohanan.

Presiden IPC, Andrew Parsons menjelaskan, semua Kejohanan Dunia perlu terbuka kepada semua atlet dan negara yang layak untuk bersaing dengan selamat dan bebas daripada diskriminasi.

Katanya, apabila negara tuan rumah tidak memasukkan atlet dari negara tertentu, atas alasan politik, pihaknya sama sekali tiada pilihan, kecuali mencari tuan rumah baharu bagi kejohanan itu.

Sementara itu, dalam reaksi segera semalam, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan tidak gentar dengan tindakan IPC membatalkan hak penganjuran Malaysia untuk menjadi tuan rumah kejohanan itu.

Menurutnya, Malaysia tidak hirau mengenai hak penganjuran sukan antarabangsa kerana lebih memikirkan mengenai nasib masyarakat Palestin yang dibunuh dan diseksa oleh rejim Benjamin Netanyahu.

Berita berkaitan

Sarawak akur keputusan IPC

'Kami tak kisah, #standwithPalestine'

IPC batal hak penganjuran Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 2:13 PM