SYED Saddiq Syed Abdul Rahman. FOTO Rosela Ismail
SYED Saddiq Syed Abdul Rahman. FOTO Rosela Ismail
Samadi Ahmad


PEMBATALAN Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) ke atas hak penganjuran Malaysia untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 tidak menjejaskan pembangunan sukan di negara ini.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kementerian berdiri teguh dengan pendirian kerajaan dan pembatalan itu tidak memberi sebarang impak.

Malah, beliau turut menegaskan Malaysia tetap dengan pendirian untuk tidak membenarkan kemasukan atlet Israel ke negara ini.

“Pembangunan sukan di negara ini diyakini akan terus berjalan lancar kerana pendirian Malaysia sudah disuarakan sejak sekian lama dan sebelum ini kita juga pernah menganjurkan pertandingan peringkat antarabangsa.

“Kementerian tetap mengambil pendirian tegas dalam isu ini sebagai membantah pendudukan dan penindasan berterusan ke atas rakyat Palestin,” katanya pada sidang media penganjuran Festival Belia Bando Muo (Festival Bandar Muar) di Putrajaya, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Program Festival Bando Muo, Ely Samsudin dan Pengurus Pertandingan Egames, Hazman Hassan.

Festival yang diadakan di bandar Muar, Johor itu dianjurkan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kelab Belia Inovatif Maharani (KBIM) akan berlangsung pada 31 Januari sehingga 3 Februari bertujuan memperkasa komuniti belia di samping mengangkat industri kreatif dan inovatif dalam kalangan mereka.

Pada mesyuarat IPC di London, kelmarin, Presidennya, Andrew Parsons membuat kenyataan membatalkan kejohanan itu selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) gagal memberikan jaminan diperlukan oleh perenang Para Israel untuk menyertai kejohanan, bebas dari diskriminasi dan selamat dalam kejohanan.

Sebelum ini, isu larangan penyertaan atlet Israel itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menegaskan sekiranya pasukan Israel tetap berdegil mahu menyertai kejohanan berkenaan, maka ia adalah satu kesalahan.

Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak dijangka berlangsung dari 29 Julai hingga 4 Ogos depan dan kejohanan itu penting bagi kelayakan ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Dalam pada itu, Syed Saddiq turut mendedahkan pada September 2017 kerajaan dan penganjur terdahulu pernah mengadakan persetujuan dengan IPC untuk untuk menjadi tuan rumah kejohanan itu dengan memberi jaminan semua atlet dan negara yang layak dibenarkan menyertai acara ini dengan jaminan keselamatan mereka.

“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) berpendirian perjanjian itu adalah tidak sah dan terbatal kerana ia diadakan dengan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Berbeza dengan pendirian kerajaan ketika ini di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir bahawa tiada sebarang kemasukan dari atlet Israel," katanya.

Berita berkaitan

'Sarawak akur keputusan IPC'

'Kami tak kisah, #standwithPalestine'

IPC batal hak penganjuran Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 3:11 PM