PASUKAN TLHT mahu pertahan dua trofi dimenangi musim lalu.   FOTO Malik Muhammad
PASUKAN TLHT mahu pertahan dua trofi dimenangi musim lalu. FOTO Malik Muhammad
Malik Muhamad


TIGA tonggak Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT), Siti Noor Amarina Ruhani, Nur Syafiqah Mohd Zain dan Siti Rahmah Othman nekad mahu terus 'mengganas' dalam saingan Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM) yang bakal membuka tirai esok.

Tiga pemain berpengalaman itu yang juga antara tonggak penting skuad negara berazam mahu mempertahankan dua trofi dimenangi musim lalu dalam saingan liga dan Piala Vivian May Soars.

Amarina yang juga kapten skuad kebangsaan menyatakan dia dan rakan sepasukan sudah bersedia sepenuhnya daripada segi mental dan fizikal untuk mengharungi cabaran liga dan piala itu.

"Saya lihat pasukan yang beraksi musim ini mempunyai kelebihan masing-masing dan seimbang tetapi kami juga tidak kurang hebatnya lebih-lebih lagi dengan kehadiran tiga pemain import dan pemain muda daripada pasukan Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu.

"Dengan barisan yang ada termasuk tiga fliker, saya yakin kami mampu mempertahankan dua trofi kejuaraan dimenangi musim lalu ditambah kekuatan enam pemain daripada skuad kebangsaan,” ujar Amarina yang sudah empat musim bersama TLHT.

Rakan sepasukannya, Siti Rahmah berkata, dia juga bagaikan tidak sabar untuk turun beraksi menentang Sabah petang esok di padang Sekolah Sukan Malaysia Sabah.

"Saya rasa persaingan tahun ini memang hebat terutama tentangan daripada pendatang baharu, Hockademy KL dan PKS Uniten tetapi kami sudah bersedia sepenuhnya dalam misi memburu kejuaraan berganda musim ini.”

Bagi Nur Syafiqah, kehadiran bekas jurulatih skuad kebangsaan, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim membimbing TLHT selain seorang lagi bekas pengendali skuad wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah yang melatih Pasukan Hoki Terengganu (THT) bakal memberi impak positif buat pasukan.

"Kehadiran mereka bakal menjadi tonik berharga buat kami untuk memburu kemenangan berganda lagi musim ini kerana mereka mempunyai pengalaman dan mengenali pemain," ujar Syafiqah.

Selain tiga tonggak itu, TLHT juga turut diperkuatkan dengan kehadiran Agostina Galimberti dari Argentina dan rakan senegaranya, Micaela Andrada Farace; Guzal Bakhavaddin dari Kazakhstan serta tiga lagi pemain kebangsaan, Julaini Mohamad Din, Fazila Sylvester dan Nurul Safiqah Mat Isa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 January 2020 @ 6:32 PM