Nur Syafiqah (kiri) ketika beraksi. FOTO NSTP
Nur Syafiqah (kiri) ketika beraksi. FOTO NSTP
Malik Muhamad

 

KUALA TERENGGANU: Penyerang utama Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT,) Nur Syafiqah Mohd Zain tidak memandang mudah status Persatuan Hoki Pulau Pinang-Majlis Sukan Sekolah Pulau Pinang (PSHA-MSSPP) yang dilabel sebagai 'budak sekolah’.

Sebaliknya penyerang skuad Malaysian Tigress itu melihat pasukan itu mampu melakukan kejutan sekiranya sikap sambil lewa dan terlalu yakin ditampilkan rakan sepasukannya pada aksi kedua Liga Hoki Wanita Malaysia di Stadium Hoki Batu Buruk, petang esok.

“Biarpuan pasukan kami diletakkan sebagai pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan itu, kami tidak akan mengambil mudah keupayaan lawan walaupun skuad kami dibarisi lima pemain import dan kebangsaan.

“Bagi saya setiap pasukan mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing, pasukan yang kerap melakukan kesilapan pastinya akan mudah 'dijerat’ pasukan lawan.

“Justeru saya menggesa rakan sepasukan beraksi seperti biasa sebagaimana ketika menumpaskan pasukan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) 5-0 pada aksi pertama Khamis lalu,” kata bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Desa Pandan, Kuala Lumpur itu.

Selain Syafiqah yang digelar pemain 'lipas kudung’ , skuad kendalian Iman Gobinathan turut dibarisi lima pemain kebangsaan termasuk bekas pemain kelab Zehlendorfer  Wespen Berlin (Liga Jerman), Wan Norfaiezah Md Sauti dan pemain kelab Butterfly Hockey Roma (Liga Itali), Fatin Shafika Mohd Sukri.

“Musim lalu pasukan kami melalui musim suram apabila hanya menduduki tempat ketiga liga dan peringkat separuh akhir Piala Vivian May Soars selepas merangkul kejuaraan berganda pada 2017.

“Dengan barisan pemain yang ada ditambah permulaan baik pada aksi pembukaan, kami harap rentak kemenangan ini dapat diteruskan dalam misi merampas kembali kejuaraan dua piala itu,” katanya kepada Sukan NSTP.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 5:01 PM