TLHT (jersi putih) gembira meraikan kemenangan bersama Liaoning di Stadium Tun Razak, hari ini. - FOTO Konfederasi Hoki Malaysia
TLHT (jersi putih) gembira meraikan kemenangan bersama Liaoning di Stadium Tun Razak, hari ini. - FOTO Konfederasi Hoki Malaysia
Saiful Affendy Sapran


PASUKAN Hoki Wanita Terengganu (TLHT) dan kelab China, Liaoning Infinite Space (LISHC) muncul juara bersama Piala Vivian May Soars selepas aksi final di Stadium Tun Razak, Kuala Lumpur hari ini tidak dapat dilangsungkan susulan hujan lebat.

Dengan perkembangan itu, bermakna TLHT di bawah bimbingan Iman Gobinathan berjaya meraih kejuaraan berganda selepas mengesahkan kejuaraan Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM) sebelum ini.

Cuaca buruk selama satu jam menyebabkan pengarah kejohanan, Jusvir Singh memutuskan perlawanan tidak akan dilangsungkan sekali gus mengumumkan kedua-dua pasukan merangkul kejuaraan bersama.

Justeru itu, hadiah wang kemenangan dibahagi sama rata dengan masing-masing meraih RM20,000.

Meskipun meraih kejuaraan berganda, Iman kurang berpuas hati dengan cara mereka meraih kejayaan itu.

“Memang rasa kurang puas hati sebab saya jangkakan kedua-dua pasukan mempamerkan perlawanan menarik. Tapi faktor cuaca di luar kuasa kami,” katanya.

Nada berbeza diluahkan oleh ketua jurulatih LISHC, Gao Lihua.

“Kami tak kisah menang dengan cara sebegini. Kami akan kembali beraksi di negara ini musim depan,” katanya.

Sementara itu tempat ketiga milik PDRM Blue Warriors yang menewaskan PKS Uniten 3-0.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Februari 2019 @ 8:22 PM