BEKAS pemain Perak, Hafiz Kamal. FOTO Hairul Anuar Rahim
BEKAS pemain Perak, Hafiz Kamal. FOTO Hairul Anuar Rahim
BERNAMA

IPOH: Bekas pemain Perak, Hafiz Kamal mengesahkan dia akan beraksi dengan PKNP FC bagi menghadapi kempen Liga Malaysia tahun ini.

Hafiz berkata, keputusan itu terpaksa dibuat memandangkan kontraknya bersama Perak yang berakhir bulan lalu tidak diperbaharui oleh pengurusan persatuan bola sepak negeri itu.

“Kalau ikutkan hati memang masih di Perak, namun selepas perbincangan diadakan bersama pengurusan dan dengan beberapa syarat yang ditetapkan, saya fikir jodoh saya dengan pasukan tak panjang.

“Jadi, itu yang menyebabkan saya ambil keputusan untuk bersama PKNP selain peluang untuk mendapat lebih minit beraksi di tengah padang,” katanya.

Hafiz yang berasal dari Pantai Remis menyertai Perak sejak 2017 selepas beraksi selama semusim bersama Selangor.

Bagaimanapun, aksinya bersama Perak agak terhad selepas terpaksa berehat lebih setahun sejak awal September 2017, akibat kecederaan lutut kiri yang dialami pada sesi latihan menjelang suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Pahang.

Hafiz berkata, dia berharap penyertaannya dalam skuad PKNP FC akan memberi sinar baru selain berazam untuk kembali merebut tempat dalam pasukan kebangsaan.

“Saya juga berterima kasih kepada pengurusan PKNP yang sudi menerima kehadiran saya dalam pasukan dan saya harap dapat membantu pasukan ini dalam mengharungi liga tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 January 2019 @ 9:44 PM