PEMAIN import baharu PKNP FC, Yashir Pinto (dua dari kanan) sertai PKNP FC. FOTO FB PKNP FC
PEMAIN import baharu PKNP FC, Yashir Pinto (dua dari kanan) sertai PKNP FC. FOTO FB PKNP FC
BERNAMA

IPOH: PKNP FC mengharapkan sumbangan pemain import terbaru mereka, Yashir Pinto dari Palestin untuk memperkasakan cabaran mereka dalam kempen Liga Super dan Piala Malaysia musim ini.

PKNP FC yang berpangkalan di Ipoh menandatangani pemain berusia 27 tahun itu dengan kontrak setahun.

Presiden kelab Datuk Zainor Fadzi Paharudin yakin Pinto mampu membantu mereka mencapai sasaran sekurang-kurangnya tempat kelima dalam Liga Super berdasarkan pengalaman luasnya bersama Perak dan Melaka sebelum ini.

“Dia pemain serba boleh dan mampu beraksi di bahagian tengah atau serangan. Itu sebab kami memilih dia,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini.

PKNP FC yang menamatkan kedudukan di tangga kesembilan daripada 12 pasukan dalam Liga Super musim lalu sudah pun mengikat dua import sebelum ini iaitu Thomas Abby, 26, dari Ghana dan pemain Tajikistan Sijavush Asrorov, 27.

Zainor Fadzi berkata, mereka juga makin hampir mendapatkan seorang lagi penyerang import dari Senegal.

Pinto yang beraksi bersama Melaka dan Perak sebelum berpindah ke kelab Coquimbo Unido di Chile tahun lalu berjanji mempamerkan aksi terbaik untuk merealisasikan impian pasukan baharunya itu.

“Saya yakin pasukan muda ini mampu pergi lebih jauh terutamanya dengan kehadiran beberapa pemain berpengalaman seperti Mohd Hafiz Kamal, Mohd Fazrul Hazri Kadri dan beberapa import yang lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 6:55 PM