LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini mengenai UKM FC disingkirkan daripada Liga M selepas MFL menolak permohonan mereka untuk menangguhkan pengesahan penyertaan.
LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini mengenai UKM FC disingkirkan daripada Liga M selepas MFL menolak permohonan mereka untuk menangguhkan pengesahan penyertaan.
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: “Pasukan macam Pulau Pinang yang ada masalah gaji boleh pula dibenarkan bermain, tetapi kami dinafikan hak hanya kerana isu kecil membabitkan pengesahan,” itu kata pengendali UKM FC, Sulaiman Hussin yang menganggap pasukannya seolah-olah dianiaya oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selepas dihalang beraksi di Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Katanya, keputusan Lembaga Pengarah Liga MFL yang menolak permohonan UKM FC untuk bertanding bukan saja 'merampas' hak mereka yang bertungkus lumus di Liga Perdana musim ini, malah turut menjejaskan periuk nasi pemain.

“Pertama, kami adalah pasukan layak beraksi di Liga Perdana selepas menamatkan kedudukan di tangga ketujuh liga selain mara ke final Piala Cabaran musim ini.

“UKM FC mempunyai tatacara kerja mengikut garis panduan yang ditetapkan kerajaan. Kami bukan saja perlu mendapatkan pengesahan Naib Canselor, tetapi perlu melalui Lembaga Pengarah UKM yang bertukar tiga kali untuk tahun ini sahaja.

“Sepatutnya MFL harus menghubungi pihak Lembaga Pengarah UKM untuk mendapat pengesahan pasukan dan bukannya menghukum kami dengan cara begitu. Kesalahan kami bukannya besar kalau nak dibandingkan dengan pasukan yang gagal melunaskan gaji pemain,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, MFL memberi tempoh selama tujuh hari kepada pengurusan UKM FC untuk mengemukakan rayuan atas kegagalan mengesahkan penyertaan mereka yang berakhir pada 15 November lalu.

Bagaimanapun, rayuan skuad The Varsity Boys itu ditolak oleh Lembaga Pengarah MFL selepas mendapati rayuan tidak mengandungi maklumat baru mengenai permohonan penangguhan selain daripada yang dikemukakan dalam permohonan awal.

“Kasihan pada pemain. Kebanyakan pemain adalah pelajar dan daripada golongan biasa, dengan bola sepak inilah mereka dapat duit poket untuk beli buku, makanan dan membayar yuran.

“Bila jadi macam ini, mereka semua kecewa dan hilang mata pencarian,” katanya.

Berita berkaitan

'UKM FC disingkirkan daripada Liga Perdana'

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 November 2018 @ 5:37 PM