Anthony Martial. FOTO Agensi
Anthony Martial. FOTO Agensi
Agensi

London: Penyerang Perancis, Anthony Martial memberitahu pengendali sementara Manchester United, Ralf Rangnick bahawa dia mahu meninggalkan kelab itu.

Rangnick berkata dia sudah mengadakan perbincangan dengan pemain berusia 26 tahun itu yang memaklumkan kepadanya ia adalah masa tepat untuk perubahan.

Martial hanya beraksi sebagai kesebelasan utama dalam dua perlawanan Liga Perdana Inggeris musim ini dan meledak satu gol.

Sekalipun keinginan tinggi meninggalkan Old Trafford, Rangnick mengesahkan kelab berkenaan belum menerima sebarang tawaran bagi penyerang itu.

Ejen pemain itu, Philippe Lamboley mengesahkan awal bulan ini Martial mahu meninggalkan kelab Inggeris itu pada Januari ini.

Rangnick berkata: "Dia menjelaskan kepada saya yang dia sudah berada di Manchester United sejak tujuh tahun lalu dan dia merasakan kini adalah masa sesuai untuk perubahan dengan pergi ke tempat lain."

Martial menandatangani kontrak bersama United pada 2015 dari Monaco. Dia menjaringkan 79 gol dalam 268 penampilan buat Red Devils tetapi menjadi pemain yang disisihkan susulan kehadiran Cristiano Ronaldo, Edinson Cavani dan Jadon Sancho.

Dia tidak beraksi dalam mana-mana perlawanan sejak Rangnick mengambil alih pasukan setakat ini serta melakukan 10 penampilan dalam semua pertandingan musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Disember 2021 @ 9:09 AM