NOR AZAM (kanan) penting untuk menguasai bola di bahagian tengah. -Foto fail
NOR AZAM (kanan) penting untuk menguasai bola di bahagian tengah. -Foto fail
Aziman Rosdi


KUALA LUMPUR: Bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh berharap Nor Azam Azih akan berada dalam skuad kebangsaan ke Piala AFF bermula awal bulan depan meskipun dia tidak pernah beraksi di pentas antarabangsa sejak Tan Cheng Hoe membimbing pasukan awal tahun ini.

Beliau berkata, kehadiran pemain perancang dari Pahang itu amat penting dalam pasukan yang dilihat memiliki masalah untuk menguasai bola di bahagian tengah.

“Pada saya Nor Azam kena ada dalam pasukan kebangsaan ke Piala AFF. Dia pemain tengah terbaik yang kita ada sekarang. Selepas saya menyaksikan perlawanan pasukan kebangsaan menentang Kyrgyzstan tempoh hari, kita tak menguasai bola di bahagian tengah dengan baik.

“Saya percaya kemahiran yang ada pada Nor Azam, dia boleh melakukan hantaran dengan baik dan menjadi penghubung antara tengah dan serangan jadi Tan Cheng Hoe perlu memanggilnya,” kata Serbegeth atau turut dikenali sebagai Shebby.

Dalam lapan perlawanan di bawah kendalian Cheng Hoe, Nor Azam pernah dipanggil sekali menyertai latihan skuad kebangsaan namun dibenarkan pulang semula selepas sehari berlatih kerana kecederaan lutut.

Tonggak skuad bawah 23 tahun yang melakar sejarah mara ke suku akhir Kejohanan B-23 AFC di China awal tahun ini difahamkan terpaksa berehat kerana kecederaan hamstring selepas kempen Piala Malaysia namun kini sudah pulih sepenuhnya.

Serbegeth berkata, dengan barisan pemain yang ada beliau yakin FAM meletakkan sasaran realistik untuk Harimau Malaya melangkah ke final.

“Berdasarkan persembahan ketika tewas 0-1 kepada Kyrgyzstan, saya lihat bahagian pertahanan kita bertambah baik, berdisiplin dan tidak mudah hilang tumpuan namun penyerang perlu lebih tenang dan tidak boleh tergopoh-gapah dalam kotak penalti.

“Tapi penyerang seperti Safawi Rasid dan Shahrel Fikri (Md Fauzi) tidak beraksi dalam perlawanan itu dan saya percaya pemain ini boleh memainkan watak penting di bahagian serangan selepas ini. Untuk mara ke separuh akhir sudah menjadi satu pencapaian baik buat skuad kebangsaan tapi final sebenarnya bukan mustahil,” katanya.

Cheng Hoe akan memanggil pemain untuk membarisi skuad Piala AFF minggu depan dengan aksi menentang Maldives pada 3 November menjadi ujian pemanas badan terakhir mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Oktober 2018 @ 8:53 PM