BOLT (kanan) terpaksa ke  Perancis bagi menghadiri satu majlis. FOTO/AGENSI
BOLT (kanan) terpaksa ke Perancis bagi menghadiri satu majlis. FOTO/AGENSI
AFP

SYDNEY: Sesi latihan bola sepak legenda pecut dunia, Usain Bolt ditangguhkan selepas dia meninggalkan Australia untuk “komitmen yang dirancang sebelum ini”, kata kelabnya, Central Coast Mariners.

Bintang balapan dari Jamaica itu sedang memburu impiannya menjadi pemain bola sepak profesional dan tiba di Gosford, 75 kilometer di utara Sydney, bulan lalu untuk berlatih bersama kelab Liga A Australia itu.

Pemegang rekod dunia 100 dan 200 meter pecut itu sudah bersama kelab Liga A itu selama tiga minggu, sejak penghujung Ogos lalu dan membuat penampilan singkatnya selama 20 minit ketika perlawanan pramusim.

“Usain Bolt akan berada di luar negara bermula pada Ahad 9 September sehingga Ahad 16 September untuk komitmen yang sudah dirancang sebelum ini,” kata Mariners.

“Komitmen ini sudah dipersetujui di antara Usain Bolt dan Central Coast Mariners sebelum tempoh latihannya bersama kelab bermula.”

Kelab itu tidak memberikan perincian di mana destinasi Bolt, tetapi akhbar Sydney Daily Telegraph melaporkan dia pergi ke Perancis bagi menghadiri satu majlis.

Kehadiran Bolt mencetus keterujaan buat Central Coast yang menyaksikan hampir 10,000 orang hadir ke stadium untuk menonton penampilan sulungnya.

Lelaki terpantas dunia itu bergelut dengan kecergasan sejak tiba, tetapi berkata pada bulan lalu dia berharap dapat bersedia menjelang permulaan Liga A musim ini pada pertengahan Oktober nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 September 2018 @ 1:38 PM