AFP

SYDNEY: Kelab Australia, Central Coast Mariners berkata, rundingan mengenai kontrak Usain Bolt (gambar) tersekat berikutan isu dana dan memberi amaran bintang pecut itu tidak akan beraksi dalam Liga A sekali pun menandatangani kontrak.

Pemenang lapan pingat emas Olimpik itu menjalani ujian dengan kelab Liga A itu sejak tiba Ogos lalu bagi melunaskan impiannya menjadi pemain bola sepak profesional.

Atlet berusia 32 tahun itu menjadi tumpuan seluruh dunia dan membuktikan kualitinya apabila menjaringkan dua gol ketika perlawanan pramusim. 

Mariners berkata Bolt yang menolak kontrak dua tahun dan tanpa ujian dari juara Malta, Valletta pada minggu lalu ditawarkan kontrak tetapi menambah ‘rundingan masih berjalan’ membabitkan masa depannya.

Kelab itu berkata mereka sedang mencari penaja luar sebagai tambahan bagi tawaran kepada Bolt.

“Tanpa sumbangan kewangan daripada pihak ketiga dari luar, tidak mungkin Usain Bolt dan Central Coast Mariners akan mempersetujui terma,” kata kelab itu.

Akhbar Sydney Daily Telegraph pada minggu ini melaporkan wakil kepada Bolt meminta AUS$3 juta dolar (RM8.826 juta) tetapi tawaran yang diberikan oleh Mariners ialah AUS$150,000 dolar (RM441,000).

Mariners menolak angka berkenaan dan berkata: “Jika ada jalan yang sesuai untuk kedua-dua kelab dan pemain, kedua-duanya akan terus bekerjasama dan melengkapkan perjanjian.”

Sekali pun meledak dua gol pada aksi pramusim, pengkritik tetap tidak berpuas hati dengan prestasi pemegang rekod 100 meter pecut dunia itu.

Mariners berkata lelaki terpantas dunia itu mempunyai potensi untuk menjadi pemain bola sepak tetapi tidak cukup bagus untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama jika memilih untuk kekal.

"Usain menunjukkan kemajuan yang hebat di Central Coast dan kami merasakan dia akan terus meningkat jika mempunyai lebih masa bagi latihan intensif individu dan perlawanan kompetitif,” katanya.

“Kami sedang melihat pelbagai cara untuk melakukannya kerana kelab ini tidak mempunyai kemampuan untuk melakukannya di Liga A.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Oktober 2018 @ 8:20 AM