SEDEK (gambar kecil) kecewa TFC gagal tempatkan diri dalam tiga terbaik Liga Super. FOTO/FAIL
SEDEK (gambar kecil) kecewa TFC gagal tempatkan diri dalam tiga terbaik Liga Super. FOTO/FAIL
Malik Muhamad


PERSATUAN Bekas Pemain Bolasepak Terengganu (PBPBT) kecewa dengan prestasi skuad Terengganu FC (TFC) yang gagal menempatkan diri dalam kelompok tiga pasukan teratas Liga Super musim ini selepas mengakhiri kedudukan di tangga kelima.

Presiden PBPBT, Mat Sedek Wahab berkata, peluang skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim itu untuk berada di tangga kedua liga di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) terbuka luas kerana perbezaan mata tidak begitu jauh.

“Tapi kegagalan pasukan menundukkan skuad Selangor dalam aksi terakhir liga malam tadi ternyata merugikan pasukan dan lebih parah skuad Penyu hanya mampu menamatkan saingan di kedudukan kelima liga.

“Sebagai bekas pemain Terengganu, kami berasa kecewa dengan keputusan itu, tapi kami tidak salahkan 100 peratus kepada pemain semata-mata dan jurulatih harus bertanggungjawab kerana tidak mencapai petunjuk prestasi utama yang disasarkan,” kata Mat Sedek.

Pada aksi terakhir bertemu skuad Red Giants, TFC yang memerlukan kemenangan tanpa mengira jumlah jaringan patut menyalahkan diri sendiri apabila tewas 0-2 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras.

Bekas pertahanan kental Terengganu era 90-an itu bagaimanapun berharap skuad yang digelar Peteh Terengganu Peteh itu mampu bangkit dalam saingan Piala Malaysia kerana ia peluang terakhir skuad itu meraih sekurang-kurangnya satu piala musim ini.

“Justeru kami harap pemain berazam sambil memperagakan aksi lebih mantap untuk meraih kejayaan apatah lagi saingan dalam Piala Malaysia pasti lebih sukar.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 2:43 PM