MAT Sedek merayu peminat setia yang bermurah hati boleh menyumbang ke dalam tabung yang akan diletakkan di luar stadium tempat duduk berbumbung. FOTO MALIK MUHAMAD
MAT Sedek merayu peminat setia yang bermurah hati boleh menyumbang ke dalam tabung yang akan diletakkan di luar stadium tempat duduk berbumbung. FOTO MALIK MUHAMAD
Malik Muhamad


BEKAS bintang terkemuka negara yang pernah menyarung jersi Terengganu dan Selangor bakal berentap dalam perlawanan amal bagi mengumpul sumbangan buat dua bekas legenda bola sepak skuad Penyu, Mohd Fadali Jalil dan Rosli Ishak yang kini terlantar akibat penyakit dihidapi mereka.

Presiden Persatuan Bekas Pemain Bolasepak Negeri Terengganu (PBPBT) Mat Sedek Wahab berkata, perlawanan amal antara bekas pemain skuad Penyu dan The Red Giants itu bakal berlangsung pada 15 Ogos ini di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Katanya, atas rasa keprihatinan untuk membantu mengumpul sumbangan dana bagi meringankan beban dua bekas pemain Terengganu itu yang kini terlantar sakit, pihak persatuan bekas pemain negeri terpanggil untuk mengadakan perlawanan itu.

Beliau berkata antara bekas pemain kebangsaan yang bakal beraksi dalam perlawanan amal itu termasuk kapten negara, Rosdi Talib di samping Subri Sulong, Hairuddin Omar, Mohd Ashari Samsudin, Badrulhisham Abdullah, Anuar Jusoh, Norhisham Hassan, Mazuki Yusof, Nor Farhan Muhamad, Zairo Anuar Zailani, Othman Mat Khiar dan penjaga gol, Mohd Syamsuri Mustafa yang akan mewakili Terengganu.

"Manakala bekas pemain kebangsaan yang akan mewakili Selangor termasuk penyerang Azman Adnan, Malek Rahman, Nizaruddin Yusof, Tengku Hazman Raja Hassan, Azrul Amri Burhan, Hardi Jaafar, Shahrin Majid, Nazrulerwan Makmor, Ivan Yusof, Talib Sulaiman dan penjaga gol Azizon Kadir.

"Walaupun perlawanan tanpa penonton, peminat setia yang bermurah hati boleh menyumbang ke dalam tabung berkenaan yang akan diletakkan di luar stadium tempat duduk berbumbung," katanya.

Mohd Fadali, 53 yang lebih mesra dipanggil Wek kini terlantar kerana masalah saraf dan jangkitan kuman akibat kencing manis manakala Rosli, 59 diserang penyakit strok.

"Fadali yang beraksi di posisi pertahanan pada era 90-an manakala Rosli di jentera serangan pada era 80-an adalah watak penting dalam skuad Terengganu pada ketika itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 5:27 PM