YUSSUF POULSEN
YUSSUF POULSEN
AFP

SARANSK: Yussuf Poulsen mengakui lega apabila dia berjaya mengubah status daripada ‘budak jahat’ kepada wira Denmark dengan meledak gol kemenangan ketika menewaskan Peru 1-0 dalam aksi sulung Kumpulan C Piala Dunia, awal pagi ini.

Kemenangan itu menyaksikan Denmark merosakkan penampilan pertama Peru di pentas Piala Dunia sejak kali terakhir layak beraksi dalam kejohanan berprestij itu 36 tahun lalu.

Poulsen hampir membuka peluang kepada Peru untuk mendahului perlawanan apabila menghadiahkan penalti kepada pasukan lawan yang dibantu menerusi teknologi garisan gol (VAR) tetapi Christian Cueva gagal menyempurnakan sepakan penalti itu.

“Ia perlawanan yang penuh emosi terutamanya untuk saya selepas memberikan penalti kepada lawan. Saya fikir saya seperti budak jahat tetapi selepas itu bertukar menjadi budak baik apabila menjaringkan gol.

“Saya bersyukur, kami berjuang dengan baik dan memberikan semua yang kami ada,” kata pemain berusia 24 tahun itu yang turut dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.

Poulsen membuktikan sentuhan penyudahnya apabila menjaringkan gol pada minit ke-59 sekali gus mendiamkan penyokong Peru yang hadir menyaksikan perlawanan di stadium.

Kemenangan itu membolehkan Denmark melebarkan rekod tanpa kalah kepada 16 perlawanan dan menamatkan rekod tanpa kalah Peru dalam 15 perlawanan.

Sementara itu, jurulatih Denmark, Age Hareide memuji ketangkasan penjaga gol, Kasper Schmeichel yang beraksi cemerlang terutama ketika menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya pada babak kedua.

“Dia menunjukkan aksi akrobatik, dia pantas dan aksinya di atas garisan gol adalah yang terbaik di dunia - kamu perlu memuji prestasinya itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Jun 2018 @ 4:16 AM