SEFEROVIC (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. -Foto EPA
SEFEROVIC (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. -Foto EPA
Reuters

MOTIVASI penyerang Switzerland Haris Seferovic melonjak selepas menjaringkan gol kedua dalam aksi pemanas badan ke atas satu lagi pasukan Piala Dunia, Jepun 2-0 awal pagi ini.

Seferovic, yang bergelut memburu tugas sebagai penyerang tunggal Switzerland pada Piala Dunia, diturunkan pada separuh masa kedua dan meledak jaringan pada minit ke-82, gol pertamanya bersama Switzerland sejak September.

Dia saling bertukar hantaran dengan Xherdan Shaqiri, yang kemudiannya menghantar bola jauh untuk disambut tandukan Francois Moubandje sebelum disempurnakan Seferovic  dari jarak dekat dan gagal diselamatkan Eiji Kawashima.

Pemain berusia 26 tahun berdepan musim sukar dengan Benfica apabila hanya menjaringkan empat gol liga dan diketepikan daripada skuad dalam beberapa perlawanan.

Dia juga diejek peminat Switzerland selepas mensia-siakan beberapa peluang pada aksi timbal balik playoff kelayakan berdepan Ireland Utara November lalu di mana Switzerland menang 1-0 secara agregat untuk mara ke Russia.

Switzerland yang akan berdepan Brazil, Costa Rica dan Serbia pada peringkat kumpulan mendahului dengan penalti aneh, empat minit sebelum tamat separuh masa pertama.

Breel Embolo mara ke kawasan penalti dan kakinya tersadung di belakang pemain Jepun namun pemain itu  berguling beberapa kali dan pengadil mengarahkan sepakan penalti.

Jepun yang akan menentang Poland, Senegal dan Colombia berdepan kekalahan ketiga berturut-turut selepas kecundang kepada Ukraine dan Ghana. Mereka akan berdepan Paraguay dalam aksi terakhir pemanas badan pada Selasa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Jun 2018 @ 10:09 AM