MBAPPE (kanan) gagal menyempurnakan sepakan penalti menyebabkan Perancis tersingkir di pusingan kedua Euro 2020. FOTO AFP
MBAPPE (kanan) gagal menyempurnakan sepakan penalti menyebabkan Perancis tersingkir di pusingan kedua Euro 2020. FOTO AFP
Agensi

Bucharest: Didier Deschamps mengakui penyingkiran Perancis melalui penentuan penalti sangat memeritkan namun tetap berdiri di belakang Kylian Mbappe yang gagal menyempurnakan sepakan penting sekali gus menyaksikan Switzerland mara ke suku akhir.

Kesemua sembilan sepakan penalti berjaya disempurnakan sebelum Yann Sommer menyelamatkan usaha Mbappe, selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 di waktu sebenar di Bucharest.

Switzerland bangkit selepas ketinggalan 1-3 untuk mengheret aksi ke masa tambahan selepas meledak dua gol menerusi Haris Seferovic dan Mario Gavranovic ketika aksi berbaki 10 minit.

Sebelum itu, kelihatan juara Piala Dunia, Perancis akan mara berdepan Sepanyol di suku akhir apabila memperoleh dua gol pantas melalui Karim Benzema dan rembatan cantik Paul Pogba untuk menutup gol awal Switzerland melalui Seferovic.

"Walaupun Kylian tidak menjaringkan gol (di Euro 2020), dia banyak memainkan peranan dalam perlawanan sebelum ini, selepas itu dia mengambil tanggungjawab untuk melakukan sepakan penalti dan tidak ada siapa pun yang marah kepadanya.

"Saya sentiasa berbincang dengan pemain, kami tahu kekuatan yang ada pada pasukan ini, kami melalui banyak saat indah bersama-sama

"Ia sangat menyakitkan, ada banyak kesedihan dan banyak perkara yang menyebabkan kami tidak bermain dengan baik dalam perlawanan ini namun bukan semuanya dan jika kami terlalu memikirkan aksi ini ia tidak banyak membantu.

"Euro kali ini sangat sukar, ia bukan alasan dan sekarang juara Eropah sudah tersingkir, juara dunia sudah tersingkir, ia menyakitkan tapi kita harus terima," katanya.

Diundi dalam kumpulan maut, Perancis yang juga juara Piala Dunia 2018, menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga teratas Kumpulan F mengatasi Jerman dan Portugal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 8:13 AM