PEMAIN Switzerland berlari meraikan kejayaan selepas Mbappe gagal menyempurnakan sepakan penalti terakhir Perancis. FOTO AFP
PEMAIN Switzerland berlari meraikan kejayaan selepas Mbappe gagal menyempurnakan sepakan penalti terakhir Perancis. FOTO AFP
Agensi

Bucharest: Switzerland menyingkirkan pasukan pilihan, Perancis di Euro 2020 selepas mencatat kemenangan sensasi dalam aksi pusingan kedua selepas perlawanan diheret sehingga penentuan penalti apabila terikat 3-3 di waktu sebenar.

Penjaga Switzerland, Yann Sommer muncul wira dalam penentuan penalti apabila menyelamatkan sepakan Kylian Mbappe, untuk mencatat kemenangan 5-4.

Keputusan berkenaan menyaksikan Switzerland mara ke suku akhir berdepan Sepanyol di St Petersburg pada tengah malam Jumaat ini.

Kejayaan Switzerland mencatat sejarah baru dalam bola sepak mereka selepas pencapaian terbaik adalah pada 2016 apabila mara sehingga pusingan kedua.

Sebelum itu Switzerland sudah memberikan amaran awal dengan mendahului perlawanan menerusi jaringan Haris Seferovic pada minit ke-15 namun mereka terlepas peluang untuk memperoleh gol kedua selepas Ricardo Rodriguez gagal menyempurnakan penalti pada minit ke-55.

Perancis segera bangkit dengan Karim Benzema meledak dua gol dalam tempoh dua minit dan berada dalam kedudukan selesa menerusi jaringan jarak jauh Paul Pogba.

Bagaimanapun, ia tidak mematahkan semangat Switzerland dan berjaya mengheret aksi ke masa tambahan apabila Seferovic menambah gol kedua ketika perlawanan berbaki 10 minit.

Pemain gantian, Mario Gavranovic pula berjaya meledak gol penyamaan pada minit terakhir.

Kedua-dua pasukan gagal memperoleh jaringan pada masa tambahan dan Switzerland mencipta kemenangan sensasi menerusi penentuan penalti untuk menunjukkan Perancis jalan keluar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 6:26 AM