AKSI ketiga ketika Argentina menentang Malaysia. FOTO/FAIL
AKSI ketiga ketika Argentina menentang Malaysia. FOTO/FAIL
Saiful Affendy Sapran

 

RENTAK permulaan perlahan sekali lagi menghukum skuad hoki lelaki negara apabila tewas 2-7 kepada Argentina pada perlawanan persahabatan ketiga di Buenos Aires hari ini.

 Kekalahan itu mengulangi kegagalan anak buah Stephen Van Huizen pada dua perlawanan sebelum ini apabila tewas 0-1 dan 1-6 kepada pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2016 itu.

 Skuad negara ketinggalan 1-4 selepas berakhir suku pertama menerusi dua jaringan padang Joaquin Menini seawal minit pertama dan ke-14 manakala dua lagi gol masing-masing disumbangkan Nicolas Della Torre minit ke-6 dan Tomas Domene, minit ke-9.

 Penyerang negara, Muhammad Haziq Samsul menjaringkan gol tunggal di suku pertama pada minit ke-5 menerusi jaringan padang.

 "Kita berjaya menjaringkan gol penyamaan tetapi lawan menambah gol kedua seminit kemudian kerana barisan pemain negara gagal bertindak balas dengan baik dalam kawasan 8 dan 25 meter," kata Stephen.

 Jelas Stephen, anak buahnya mempamer aksi lebih baik selepas itu tetapi ia masih belum dapat menghalang Argentina daripada menambah tiga gol lagi menerusi Della Torre minit ke-27, Juan Gilardi minit ke-35 dan Pedro Ibarra minit ke-37.

 Muhammad Azri Hassan menambah gol kedua negara minit ke-45 tetapi ia dilihat sudah terlambat untuk Malaysian Tigers melakukan kebangkitan semula.

 "Pada suku ketiga dan keempat, kami mempamer aksi lebih baik dan mencipta peluang, namun hanya menjaringkan satu gol," kata Stephen.

 Skuad negara akan turun bertemu Argentina pada perlawanan keempat, Rabu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mei 2018 @ 5:02 PM