AIMAN (kanan)  mewakili Malaysia pada Sukan SEA lalu.
AIMAN (kanan) mewakili Malaysia pada Sukan SEA lalu.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Penyerang muda skuad hoki negara, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi bersedia untuk membantu pasukan bawah 21 tahun pada saingan Piala Sultan Johor dari 22 hingga 29 Oktober ini selepas namanya tidak tersenarai untuk bersama pasukan senior bagi menghadapi saingan Piala Asia di Dhaka, Bangladesh.

Ketua jurulatih skuad senior, Stephen Van Huizen merehatkan pemain berusia 21 tahun itu buat seketika, sekali gus membuka peluang kepadanya untuk beraksi di Piala Sultan Johor buat kali ketiga berturut-turut andai dipilih ketua jurulatih skuad bawah 21 tahun, Wallace Tan.

“Buat masa ini tak tahu lagi sama ada saya terpilih atau tidak untuk ke Piala Sultan Johor sebab proses pemilihan pemain sedang dilakukan oleh jurulatih.

“Tapi jika terpilih, sudah tentu saya mahu membantu pasukan pada penampilan ketiga selepas turut beraksi dua tahun berturut-turut sebelum ini,” katanya.

Jelas Nik, secara peribadi dia sedikit kecewa kerana tidak terpilih untuk beraksi di Dhaka, namun memahami keputusan dilakukan Stephen.

“Jurulatih sudah terangkan kepada saya. Sudah tentu saya akan cuba meraih tempat semula dalam skuad senior untuk menghadapi saingan lebih besar tahun depan seperti Sukan Asia, Komanwel dan tentu sekali Piala Dunia,” katanya.

“Harap dengan pengalaman sepanjang bersama skuad senior ia sedikit sebanyak dapat membantu pasukan bawah 21 tahun di Johor,” katanya.

Nik melakukan penampilan pertama bersama skuad senior pada Piala Sultan Azlan Shah, tahun lalu sebelum terus menjadi pilihan utama Stephen.

Paling mencuri tumpuan adalah aksi cemerlangnya ketika membantu pasukan memenangi Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia di Dhaka, Mac lalu sehingga menerima pujian daripada Stephen sendiri.

Selain Malaysia, lima lagi pasukan yang bakal beraksi pada edisi Piala Sultan Johor kali ini kali ini adalah juara bertahan, Australia, Britain, Jepun, Amerika Syarikat dan India.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2017 @ 11:09 AM