PRESIDEN Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal (kiri) menyambut ketibaan skuad hoki negara di KLIA.
PRESIDEN Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal (kiri) menyambut ketibaan skuad hoki negara di KLIA.
Saiful Affendy Sapran


Sepang: Meskipun skuad hoki negara sudah memenuhi sasaran untuk muncul juara Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia, ketua jurulatih Stephen Van Huizen tidak menganggap kejayaan itu sebagai tiket untuk anak buahnya berasa selesa.

Sebaliknya, pengendali berusia 58 tahun itu menuntut kerahan tenaga yang lebih lagi daripada barisan pemainnya untuk persiapan ke Separuh Akhir Liga Hoki Dunia sama ada di London pada Jun atau Johannesburg, Julai.

“Kami sudah mengharungi sebahagian daripada proses untuk cuba layak ke Piala Dunia. Sekarang adalah masanya untuk bekerja lebih keras.

“Sebab pada aksi Separuh Akhir Liga Hoki Dunia, tahap lawan yang akan ditemui pasti lebih hebat dan segala kelemahan harus diperbaiki.

“Bagi saya dalam tempoh empat bulan menjelang aksi di London atau Johannesburg, pasukan perlu berada di tahap terbaik.

“Saya juga berharap pakar pukulan sudut penalti juga dapat memperoleh rentak semula,” katanya sejurus tiba dari Dhaka, Bangladesh semalam.

Pada aksi final menentang China kelmarin, skuad negara hampir tewas di tangan Negara Tembok Besar itu apabila pada satu ketika ketinggalan 0-2.

Namun kebangkitan dramatik pada suku terakhir dengan berjaya menyamakan kedudukan sekali gus memenangi perlawanan menerusi penalti shoot-out 5-3, menyelamatkan maruah negara sekali gus memenuhi sasaran untuk muncul juara di Dhaka.

“Satu perkara yang pemain belajar pada aksi final adalah bagaimana untuk mempunyai mental yang kuat hingga hujung perlawanan,” jelas Stephen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2017 @ 7:53 AM