ALCARAZ mengembalikan pukulan Vukic pada perlawanan pusingan kedua Wimbledon, malam tadi. FOTO AFP
ALCARAZ mengembalikan pukulan Vukic pada perlawanan pusingan kedua Wimbledon, malam tadi. FOTO AFP
AFP

London: Dua pemain pilihan merangkul gelaran, Jannik Sinner dan Carlos Alcaraz mara ke pusingan ketiga Wimbledon, malam tadi, namun bintang Jepun, Naomi Osaka kecundang dalam kemunculan semula di Centre Court selepas menghilang selama lima tahun.

Sinner yang juga juara Terbuka Australia menewaskan rakan sepasukan dalam skuad Piala Davis Itali, Matteo Berrettini 7-6 (7/3), 7-6 (7/4), 2-6, 7-6 (7/4) dalam pertarungan tiga jam 42 minit.

Berrettini yang muncul naib juara pada 2021 memberikan tentangan sengit termasuk 28 servis ace.

Bagaimanapun, Sinner mengekalkan ketenangan pada detik penting termasuk memaksa Berrettini melakukan kesilapan ke-48 yang menamatkan persaingan berkenaan.

"Memang sukar apabila kami terpaksa bersaing sesama sendiri di pusingan kedua," kata Sinner yang mara ke separuh akhir 2023 dan akan berdepan Miomir Kecmanovic selepas ini.

Alcaraz pula menewaskan pemain Australia di ranking ke-69 dunia, Aleksandar Vukic 7-6 (7/5), 6-2, 6-2 untuk terus mara.

Jaguh Sepanyol yang juga pilihan ketiga kejohanan itu hanya melakukan kesilapan pada set pertama ketika mendahului 5-2, tetapi ketinggalan 5-6.

Bagaimanapun, juara tiga kejohanan utama itu kemudian mengukuhkan cengkaman pada set berikutnya untuk mengalahkan pemain yang pernah menewaskannya di peringkat kelayakan Terbuka Perancis 2020.

Alcaraz akan berdepan pemain Amerika Syarikat (AS) kegemaran penonton, Frances Tiafoe yang ditewaskannya dalam pertarungan lima set di separuh akhir Terbuka AS 2022 dalam usaha merangkul gelaran Grand Slam pertama.

"Saya sedia berdepan dengannya," kata Alcaraz yang mahu menjadi pemain keenam selepas Rod Laver, Bjorn Borg, Roger Federer, Rafael Nadal dan Novak Djokovic yang menjuarai Terbuka Perancis dan Wimbledon berturut-turut.

"Saya sedia bermain tenis pada tahap tertinggi dan menewaskannya."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 8:46 AM