VINICIUS (kiri) dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Munoz pada perlawanan Selasa lalu. FOTO AFP
VINICIUS (kiri) dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Munoz pada perlawanan Selasa lalu. FOTO AFP
Reuters

Santa Clara, Amerika Syarikat: Konfederasi Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL) berkata, pengadil dan VAR (video bantuan pengadil) membuat kesilapan apabila tidak memberikan penalti kepada Brazil ketika seri 1-1 dengan Colombia pada aksi peringkat kumpulan, Selasa lalu.

Insiden berlaku pada minit ke-42 apabila pemain pertahanan, Daniel Munoz menjatuhkan Vinicius Jr dalam kotak penalti pada pertarungan merebut tempat teratas Kumpulan D di Stadium Levi's.

Ketika itu, Brazil mendahului Colombia 1-0 dan Vinicius berlari ke dalam kotak penalti dari sebelah kiri sebelum Munoz menjatuhkannya.

Pemain Brazil merayu supaya diberikan sepakan penalti, tetapi pengadil Venezuela, Jesus Valenzuela tidak menganggap ia sebagai kekasaran manakala VAR diketuai pengadil Argentina, Mauro Vigliano, menyatakan Munoz menyentuh bola sebelum kekasaran itu.

"Ketika perebutan bola di dalam kotak penalti, pemain pertahanan itu tidak menyentuh bola," kata CONMEBOL menerusi video yang disiarkan hari ini.

"Jadi, berlaku sentuhan tanpa sebab dalam insiden itu. Pengadil gagal melihat kejadian itu dan meneruskan permainan.

"VAR pula gagal mengesahkan pemain pertahanan todak menyentuh bola sebelum menjatuhkan penyerang Brazil. Jadi, VAR mengesahkan keputusan tidak tepat yang berlaku di tengah padang."

Kesilapan itu ternyata memberi kesan besar kepada anak buah Dorival Jr, yang memerlukan kemenangan untuk menduduki tangga teratas kumpulan itu.

Selepas hanya seri dan menduduki tangga kedua kumpulan, Brazil akan berdepan juara Kumpulan C, Uruguay pada aksi suku akhir, pagi Ahad ini.

"Selepas insiden itu, kami dibolosi lawan. Pengadil menjadi penentu, hanya dia dan VAR tidak nampak, sedangkan sepatutnya kami mendapat penalti," kata Dorival.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 9:04 AM