SKUAD hoki negara   berada di Argentina bagi  persiapan untuk ke Sukan Asia Indonesia.
SKUAD hoki negara berada di Argentina bagi persiapan untuk ke Sukan Asia Indonesia.
Jugjet Singh

Kuala Lumpur: Gol menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Razie Rahim membolehkan Malaysia mencatat keputusan positif di sepanjang enam perlawanan ujian menentang Argentina di Buenos Aires, semalam.

Malaysia berjaya mengikat juara Olimpik, Argentina 1-1 pada perlawanan ujian kelima selepas tewas semua empat aksi sebelum ini.

Untuk rekod, Argentina hanya menurunkan lapan pemain yang beraksi di Olimpik Rio, selain memberikan peluang kepada 10 pemain lain di sepanjang perlawanan ujian kali ini.

Nicolas Della Torre memberikan jaringan pendahuluan buat tuan rumah menerusi gol padang pada minit ke-12 dan Razie menyamakan kedudukan pada minit ke-26.

Malaysia tewas empat perlawanan terdahulu (0-1, 1-6, 2-7, 1-2) dan akan mengharungi aksi terakhir, hari ini.

Jurulatih, Stephen van Huizen berkata: “Kami memulakan permainan dengan penuh hati-hati dan secara perlahan-lahan, kami mula menyaingi lawan.

“Kami mengimbangi mereka hinggalah pada minit ke-12 apabila tuan rumah menjaringkan gol. Kami cuba bangkit dan melancarkan serangan bertubi-tubi sebelum meraih pukulan sudut penalti yang disempurnakan Razie.

“Tuan rumah kembali menekan dan kami terpaksa bekerja keras untuk menghalang mereka. Semua pemain termasuk penyerang terpaksa membantu benteng pertahanan.

“Penjaga gol (S Kumar) berada pada tahap terbaiknya untuk menghalang cubaan lawan, begitu juga dengan Sukri (Mutalib) dan Razie (pertahanan).

“Saya gembira dengan usaha dan kesungguhan pemain kerana kami mengharungi perlawanan yang sukar.”

Skuad negara berada di Argentina sebagai persiapan untuk ke Sukan Asia Indonesia Ogos depan yang mana hanya juara layak ke Olimpik Tokyo 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Jun 2018 @ 4:53 AM