PASUKAN hoki negara sebelum perlawanan menentang Argentina. FOTO/MHC
PASUKAN hoki negara sebelum perlawanan menentang Argentina. FOTO/MHC
Saiful Affendy Sapran

 

SELEPAS aksi longlai pada dua perlawanan persahabatan terakhir dengan Argentina, skuad hoki lelaki negara kembali mempamerkan aksi meyakinkan pada perlawanan keempat, hari ini.

 Meskipun keputusan tetap tidak memihak kepada anak buah Stephen Van Huizen yang tewas tipis 1-2, sekurang-kurangnya mereka mampu mengimbangi kekuatan lawan.

 Malah skuad negara di depan terlebih dahulu menerusi jaringan padang Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil pada minit ke-14.

 Namun Argentina bangkit menyamakan kedudukan hasil pukulan sudut penalti Maico Casella minit ke-42 sebelum Nahuel Salis menambah gol kedua empat minit kemudian, juga menerusi pukulan sudut penalti.

 "Kami beraksi dalam keadaan berkabus pada separuh masa pertama tetapi keadaan kembali normal selepas itu.

 "Pemain lebih banyak berkomunikasi dan cukup bersemangat apabila mereka dilihat cuba untuk menguasai perlawanan.

 "Kami bertahan dengan baik sebagai satu unit dan dapat menjaringkan gol pertama menerusi Tengku.

 "Tapi Argentina melakukan kebangkitan terutama di suku ketiga," katanya.

 Jelas Stephen, barisan pemainnya terus berusaha untuk mencari gol penyamaan, tetapi usaha mereka menemui kegagalan.

 Kekalahan hari ini adalah yang keempat berturut-turut dialami skuad negara selepas tewas 0-1, 1-6 dan 2-7 kepada pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016 itu.

 Malaysia akan turun pada perlawanan persahabatan kelima, Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mei 2018 @ 4:59 PM