RYAN GIGGS
RYAN GIGGS
AFP

BEKAS pemain Manchester United, Ryan Giggs turut tidak ketinggalan bersama komuniti bola sepak dunia mendoakan pemulihan bekas pengurus, Alex Ferguson yang menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.

Dianggap pengurus paling berjaya dalam sejarah bola sepak Britain, Ferguson,76, merangkul 38 trofi sepanjang 26 tahun mengendalikan United termasuk 13 kejuaraan Liga Perdana dan dua kali mengungguli Liga Juara-Juara sebelum bersara pada 2013.

Giggs yang juga pengurus Wales adalah sebahagian daripada skuad yang menjulang 13 kejuaraan itu sepanjang 24 tahun kariernya di Old Trafford.

“Sekarang adalah masa untuk berdoa dan harap dia akan segera pulih,” kata Giggs kepada BBC Wales.

“Ferguson memainkan peranan besar dalam karier saya, dalam dan di luar padang. Saya tahu pembedahan itu berjaya. Dia seorang pejuang dan itu yang menyebabkan saya yakin dia akan pulih,” katanya.

Pemain pertahanan United, Phil Jones juga positif dan yakin Ferguson akan pulih sepenuhnya. Dia mengakui sangat terkejut dengan berita mengenai Ferguson.

“Saya benar-benar terkejut dan sedih,” kata Jones yang beraksi bersama United pada 2011.

“Dia seorang legenda. Dialah yang membawa saya ke kelab ini sekali gus memberi saya peluang beraksi dengan salah sebuah kelab terbesar dunia. Dia bagaikan bapa saya. Sangat sedih tapi saya kenal karakternya. Dia sudah pasti berjuang untuk pulih,” kata Jones.

Sementara itu, pemain tengah United, Juan Mata berkata, berita Ferguson memberikan impak besar kepada skuad yang ada sekarang.

“Kami semua bersatu sekarang dan mendoakan yang terbaik buat Sir Alex. Dia seorang yang unik dan salah seorang ikon penting bola sejak beberapa dekad lalu,” katanya.

United pula menghargai dan berterimakasih terhadap ucapan diberikan termasuklah daripada bekas ‘musuh’, Arsene Wenger, Pep Guardiola dan Jurgen Klopp yang sering menyanjungi Ferguson.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mei 2018 @ 3:52 PM