AFP

ALEX Ferguson menyanjung Eric Harrison sebagai seorang “jurulatih terhebat” selepas bekas bos pasukan belia Manchester United itu yang juga mentor kepada kebanyakan pemain Kelas ‘92 meninggal dunia pada usia 81 tahun, semalam.

Harrison, yang bertanggungjawab melahirkan pemain hebat termasuk David Beckham, Ryan Giggs, Nicky Butt, Paul Scholes serta Gary dan Phil Neville, disahkan mengidap demensia, penyakit khusus pada otak dan meninges yang berlaku pada peringkat lewat sifilis, empat tahun lalu.

“Sumbangan Eric terhadap bola sepak dan bukan saja di Manchester United amat mengagumkan,” kata bekas pengurus Ferguson.

“Apabila saya hadir sebagai pengurus, saya amat bertuah mempunyai Eric dalam staf sebagai ketua pembangunan belia, jadi saya melihat kerja yang dilakukannya bukan setakat bersama Kelas ‘92 tapi dengan semua pemain muda.

“Beliau membina karakter dan keazaman dalam kalangan pemain muda dan menyediakan mereka untuk masa depan. Beliau adalah guru, beliau memberikan pemain ini laluan, pilihan dan beliau melakukannya dengan kerja keras serta pengorbanan.”

Dilantik oleh pengurus United, Ron Atkinson pada 1981, Harrison menghabiskan tempoh 27 tahun di kelab itu, 17 tahun mengendalikan pasukan belia dan kemudian membentuk bakat beberapa pemain berprofil tinggi termasuk Mark Hughes dan Norman Whiteside.

Kejayaan terhebatnya hadir di bawah kendalian Ferguson dengan pemain Kelas ‘92 menjadi tonggak utama skuad United yang memenangi tiga gelaran pada 1999.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 12:36 AM